Bengkel TP1B: Roslan bantu jawab soalan Fiziks guna kaedah mudah

Bengkel TP1B: Roslan bantu jawab soalan Fiziks guna kaedah mudah

 

Oleh Norila Daud

BANTING,  7 Dis – Kem Pintar Tabung Pendidikan 1Bilion (TP1B) yang mengadakan Bengkel Fiziks/Sains sebagai salah satu pengisian programnya berjaya memberi kemahiran kepada 46 pelajar untuk menyelesaikan masalah dan menjawab soalan dalam subjek yang dianggap sukar oleh kebanyakan calon Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).

Para pelajar yang tidak yakin, keliru dan buntu setiap kali berdepan dengan soalan Fiziks bagaimanapun mendapat bantuan daripada Penganalisis Sistem, Roslan Ahmad yang memperkenalkaan beberapa kaedah mudah pada bengkel tersebut.

img_8325

Roslan berkata,  bengkel yang dikendalikan selama lima jam itu secara tidak langsung berjaya mengubah sikap pelajar daripada malu mengajukan soalan kepada berterus terang dengan kelemahan diri.

Menurut Roslan, beliau menasihati pelajar supaya jujur dengan diri sendiri dan menyatakan bahagian yang tidak difahami dengan jelas.

Jika tidak diberitahu katanya,  dia tidak tahu kelemahan seseorang  pelajar, maka itu mereka digalak  melibatkan diri dalam kumpulan dan seterusnya mengemukakan bahagian yang tidak jelas kepadanya.

“Daripada tindak balas yang diterima, didapati 50 peratus daripada peserta masih tidak jelas dan faham apa yang  dipelajari sepanjang tahun ini.

“Dalam bengkel ini saya hanya menumpukan kepada dua tajuk iaitu pengenalan kepada Fiziks selain kuasa dan pergerakan. Perhatian diberikan kepada kesalahan yang lazim dilakukan pelajar berikutan tidak memahami konsep kuasa dan kerana itu tidak boleh menyelesaikan masalah,” katanya ketika ditemui di kem PLKN baru-baru ini.

Beliau menjelaskan, pelajar turut diberi pendedahan tentang cara-cara menjawab kertas dua iaitu menulis karangan dan kertas ketiga melakukan eksperimen.

“Perkara yang diperlukan untuk menjawab soalan Fiziks ialah mengetahui kaedah, teknik dan pendekatan cara mana untuk menyelesaikan masalah yang dikemukakan.  Semua ini perlu dilukis, dilabel dan ditukar dalam bentuk rajah supaya boleh dilihat  dengan lebih jelas,” ujar Roslan yang juga menjadi tutor bebas.

Kebanyakan peserta bersifat pendiam dan pemalu kata Roslan, namun jika diberi pendedahan dan peluang seperti yang terdapat dalam program Kem Pintar TP1B ini, mereka  “membuka mata” dan mendapat faedah daripada segala bimbingan yang diberikan.

Kem Pintar TP1B sessi kedua ini bermula dari 3 hingga 7 Disember iaitu lanjutan daripada kem yang pertama yang berlangsung pada 29 Mei hingga 1 Jun lalu.

Elakkan stres dengan berfikiran positif – Dr. Mawarni

Sementara itu, Koordinator Program Pendidikan Kesihatan dan Jasmani, Fakulti  Pendidikan UiTM, Dr. Mawarni Mohamed berkata,  pengurusan waktu bermaksud melakukan yang terbaik  dengan  menggunakan tenaga dalam waktu dan jadual yang ditetapkan.

Menurut Mawarni,  jadual waktu terbahagi kepada dua iaitu perkara yang hendak dilakukan dan perkara yang perlu dilakukan.  Perkara yang realistik mampu dilakukan sementara impian atau cita-cita belum mampu dilakukan.

Sebagai pelajar katanya, seseorang itu perlu memberi perhatian kepada metrik keutamaan iaitu sangat penting dan disegerakan tetapi dalam perkara yang sangat penting dan tahap untuk disegerakan sangat tinggi, maka ianya mesti didahulukan.

Mawarni berkata demikian dalam sessi “Pengurusan Waktu dan Stres’’ pada 46 pelajar yang menyertai Kem Pintar TP1B di Kem PLKN, Paya Indah, Banting baru-baru ini.

img_8329

“Sekiranya sesuatu perkara itu sangat penting tetapi tidak perlu disegerakan maka ianya boleh dilakukan nanti dan dalam kes tidak penting tetapi perlu disegerakan maka ianya hendaklah dilakukan kemudian dan dalam kes penting dan penyegeraannya rendah maka ianya tidak perlu dilakukan,” tegas Mawarni.

Mawarni turut  memberitahu, seseorang itu akan menjadi lebih produktif sekiranya tahap stresnya rendah. Dalam keadaan ini seseorang itu boleh memperbaiki estim diri, mencapai keseimbangan  dalam hidup, elakkan kecelaruan, yakin diri dan melakukan sesuatu sehingga mencapai matlamatnya.

Seseorang itu ujarnya, akan mengalami stres sekiranya sering melengahkan tugas, merasa bersalah dengan apa yang berlaku, risau dengan apa yang akan berlaku, hidup tidak teratur dan tidak mempunyai matlamat sama ada untuk diri dan profesion, tiada rancangan , tiada hasil dan tidak boleh berkata tidak.

Untuk mengatasi stres tambah Mawarni, anda hendaklan berehat, elakkan berfikiran negatif sebalikinya  berdoa, bersolat dan saling bantu membantu dan sebarkan kebaikan itu kepada orang lain.

Leave a Reply

Your email address will not be published.