Ucapan Tan Sri Che Lodin Wok Kamaruddin Semasa Pemeteraian Sinergi TP1B Bersama Bank Islam Malaysia Berhad

Ucapan Tan Sri Che Lodin Wok Kamaruddin Semasa Pemeteraian Sinergi TP1B Bersama Bank Islam Malaysia Berhad

MAJLIS PEMETERAIAN SINERGI ANTARA BANK ISLAM MALAYSIA BERHAD DENGAN TABUNG PENDIDIKAN 1 BILION
PADA KHAMIS, 8hb DISEMBER 2016

 

YBHG TAN SRI DATO SERI CHE LODIN BIN WOK KAMARUDDIN

PENGERUSI

AHLI LEMBAGA PEMEGANG AMANAH

TABUNG PENDIDIKAN 1 BILION

PROGRAM PEMETERAIAN SINERGI BERSAMA BANK ISLAM MALAYSIA BERHAD PADA 8 DISEMBER 2016

  • Yang Berhormat Dato’ Seri Idris Jusoh, Penaung, Tabung Pendidikan 1Bilion (TP1B),
  • Dato’ Sri Zukri Samat, Pengarah Urusan BIMB,
  • Yang Bhg. Dato’ Mohd Zaini Hassan, Timbalan Pengerusi TP1B dan juga Presiden Persatuan Alumni UiTM Malaysia dan Ahli Lembaga Pengarah UiTM
  • En Mujibburrahman Abd. Rashid, Ketua, Perbankan Pengguna
  • Lembaga Pengarah, EXCO serta Pihak Pengurusan Kanan TP1B, dan Bank Islam Malaysia Berhad
  • Dato-Dato dan Datin-Datin, Ahli Lembaga Pemegang Amanah Tabung Pendidikan 1 Bilion
  • Rakan-rakan Media; dan
  • Hadirin yang dihormati sekalian,

Assalammualaikum Warrahmatullahiwabarakatuh dan Salam Sejahtera.

  1. Alhamdulilah, syukur ke hadrat Allah SWT kerana dengan limpah kurnia dan izin-Nya, dapat juga kita bersama-sama berhimpun di Bank Islam pada hari ini. Untuk pengetahuan, sudah lama saya dan rakan-rakan Ahli Lembaga Pemegang Amanah Tabung Pendidikan 1 Bilion menunggu untuk berada di sini. Hari ini, saya merasa sangat terharu kerana mendapat jemputan dari Bank Islam, sebuah bank yang mengamalkan sistem perbankan Islam sepenuhnya yang diketuai oleh Alumni UiTM. Bukan itu sahaja, saya juga difahamkan bahawa majority kakitangan Bank Islam yang hadir pada hari ini adalah Alumni UiTM. Alhamdulillah saya merasa amat berbangga dapat bersama Tuan2 dan Puan2.
  1. Majlis Menandatangani Pemeteraian Sinergi antara kedua pihak yang dilaksanakan pada hari ini bukanlah atas sebab perniagaan semata-mata. Ia lebih kepada pemeteraian jalinan hubungan atas semangat menyumbang semula demi kemajuan pendidikan anak-anak, oleh TP1B dengan Bank Islam Malaysia Berhad (BIMB). JomPay adalah satu kaedah mudah yang diperkenalkan untuk memudahkan proses pemberian infaq dan menyumbang.

Dengan termeterainya perjanjian ini, saya berharap lebih ramai orang awam terutamanya Alumni akan menyumbang ke Tabung menggunakan sistem JomPAY yang kini menjadikan ia lebih mudah, cepat dan efisien.

  1. Untuk makluman hadirin sekelian, TP1B telah dilancarkan oleh YAB Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak pada bulan April 2015. Tujuan utama penubuhan tabung ini adalah bagi membantu perlaksanaan kerja-kerja pendidikan, kebajikan sosial, pemberian biasiswa dan penyelidikan ilmiah. Kesemua ini diwujudkan bagi membantu anak-anak yang tidak bernasib baik dan serba kekurangan agar diberi peluang untuk melakar kecemerlangan dalam bidang pendidikan dan kerjaya yang membolehkan mereka dan keluarga mereka keluar daripada kepompong kemiskinan.
  1. Saya boleh katakan bahawa TP1B adalah sebuah pertubuhan yang unik kerana setiap ahli masyarakat, korporat, institusi swasta serta kerajaan boleh menyumbangkan bantuan untuk membantu menyokong pembentukan dan kemajuan kehidupan yang cemerlang melalui peningkatan pendidikan. Ini selaras dengan prinsip TP1B yang berpegang teguh kepada peningkatan kualiti dan kemakmuran kehidupan berteraskan kepada kecemerlangan pendidikan.
  1. Idea mendapatkan RM1 bilion bukan lah satu angan-angan yang mustahil. Bayangkan seorang Alumni menyumbang, menginfak, menderma, bersedekah, dan berwakaf sebanyak RM2000 seorang, dengan jumlah Alumni yang melebihi 500 ribu orang kini, pastinya dana endowmen atau dana wakaf yang boleh dikumpul berjumlah Ringgit Malaysia 1 Bilion. Justeru penubuhan TP1B bukan sahaja atas cabaran, ia juga atas kesedaran mengadakan landasan untuk membentuk generasi masa hadapan yang hebat, bermaruah dan berilmu. Ianya adalah atas inisiatif besar Persatuan Alumni UiTM Malaysia dan diterajui oleh para Alumni dari pelbagai bidang, kecekapan serta tahap profesionalisma yang tinggi. Kesemua Ahli Lembaga Pemegang Amanah TP1B ialah Alumni UiTM.
  1. Saya mengambil kesempatan ini untuk menyeru lebih 650,000 alumni yang dilahirkan oleh UiTM sejak 60 tahun penubuhannya untuk menyokong dan menyumbang kepada TP1B. Sudah tiba masanya kita menggerakkan semangat wakaf di kalangan alumni ini supaya menjadikan semangat memberi balik (spirit of giving back) sebagai suatu amalan. Kejayaan pengumpulan dana yang kukuh, membolehkan lebih banyak aktiviti berimpak tinggi, pemberian dermasiswa, bantuan penyelidekan dan pembangunan dapat dilaksanakan. Ia juga menggambarkan kesatuan serta keakraban yang jitu oleh semua alumni.
  1. Setiap sumbangan tidak dikira dari jumlahnya. Kecil atau besar jumlah sumbangan bukan ukuran. Kami menghargai keperihatinan dan semangat untuk memberi semula, kerana itu lebih berharga. Sikap sedemikian sangat dihormati dan mulia.

Saya mengambil kesempatan ini untuk mengucapkan terima kasih dan syabas kepada kumpulan pertama kakitangan Bank Islam yang menyumbang kepada TP1B menerusi sistem potongan gaji bulanan.  Mereka ini adalah Alumni yang Hebat.

8. Akhir kata, terima kasih sekali lagi kepada Bank Islam Malaysia Berhad terutamanya YBhg Dato Sri Zukri Samat dan juga YBhg Dato Wan Ismail yang juga salah seorang Ahli Lembaga Pemegang Amanah TP1B atas jemputan ke Majlis ini.

Terima kasih saya juga kepada YB Dato Sri Idris Jusoh atas cetusan idea yang begitu bernas serta sokongan yang berterusan kepada Alumni UiTM.

 

Sekian.

Wabilahitaufik Walhidayah Wasalamualaikum Warahmatullahhiwabarakatuh.

Jika tidak berada- ada
Tak kan tempua bersarang rendah
Kita Alumni sehati sejiwa
Segala di tempa, semua di redah

Kajang Pak Malau kajang berlipat
Kajang saya mengkuang layu
Kita Alumni orang yang hebat
Berjaya bersama, setia bersatu

Leave a Reply

Your email address will not be published.