Teks Ucapan Pengarah Urusan Bank Islam Malaysia Berhad Dato’ Sri Zukri Samat Di Majlis Pemeteraian sinergi Bank Islam – TP1B

Teks Ucapan Pengarah Urusan Bank Islam Malaysia Berhad Dato’ Sri Zukri Samat Di Majlis Pemeteraian sinergi Bank Islam – TP1B

TEKS UCAPAN DATO’ SRI ZUKRI SAMAT, PENGARAH URUSAN, BANK ISLAM MALAYSIA BERHAD MAJLIS PEMETERAIAN SINERGI BANK ISLAM – TABUNG PENDIDIKAN 1BILION  DI DEWAN UTAMA, ARAS 10, MENARA BANK ISLAM

KHAMIS, 8 DISEMBER 2016

dan salam sejahtera,

  • Yang Berhormat Dato’ Seri Idris Jusoh, Penaung, Tabung Pendidikan 1Bilion (TP1B),
  • Yang Berbahagia Tan Sri Dato’ Lodin Wok Kamaruddin, Pengerusi TP1B,
  • Yang Berbahagia Dato’ Mohd Zaini Hassan, Timbalan Pengerusi TP1B,
  • Lembaga Pengarah, EXCO serta Pihak Pengurusan Kanan TP1B, dan Bank Islam Malaysia Berhad
  • Rakan-rakan Media; dan
  • Hadirin yang dihormati sekalian,

Alhamdulillah, segala pujian bagi Allah S.W.T., dengan keizinanNya, dapat kita bersama-sama berhimpun pada pagi yang penuh keberkatan ini sempena Majlis Pemeteraian Sinergi Bank Islam bersama Tabung Pendidikan 1Bilion, atau singkatannya TP1B.

Bank Islam amat teruja untuk bersama-sama mengusahakan objektif murni TP1B ini dan mengucapkan ribuan terima kasih kepada Ahli-ahli Lembaga Pemegang Amanah Tabung atas peluang jalinan sinergi ini. In-Sha-Allah, bersama kita menjayakan hasrat kerajaan dalam dasar transformasi peningkatan kualiti hidup masyarakat melalui pendekatan pendidikan.

Pihak Bank amat tertarik dengan objektif penubuhan TP1B; satu inisiatif murni Persatuan Alumni UiTM dalam menyokong pembentukan para pelajar yang cemerlang menerusi peningkatan pendidikan, terutamanya para pelajar yang datang daripada golongan atau keluarga yang berpendapatan rendah. Dan saya difahamkan juga bahawa para pelajar yang layak mendapat bantuan ini adalah daripada semua bangsa, lantas, menjadikan TP1B satu inisiatif murni perpaduan kaum. Tambahan, TP1B juga adalah untuk para pelajar yang layak daripada semua Institusi Pengajian Tinggi Awam di Negara ini.

Hadirin yang dihormati sekalian,

Di Bank Islam, selain daripada menjalankan urusan perniagaan harian, amalan tanggungjawab korporat turut menjadi asas yang sangat penting dalam operasi Bank ini. Kami amat prihatin terhadap pembangunan pendidikan anak-anak Malaysia dari sekolah rendah hinggalah ke menara gading. Ini adalah kerana kami percaya setiap kanak-kanak perlu diberi peluang untuk mendapatkan pendidikan yang berkualiti bagi  melahirkan modal insan yang boleh menyumbang kepada pembangunan Negara kta.

Sifat prihatin sebegini kami terapkan di kalangan kakitangan Bank Islam. Justeru, kami telah melaksanakan satu kempen menggalakkan sumbangan kepada Tabung TP1B di kalangan kakitangan Bank. Alhamdulillah, kempen ini sudah mendapat perhatian daripada kakitangan dan telah ada di kalangan kami yang “pledged monthly deduction” daripada gaji bulanan mereka. Kempen sebegini akan kami teruskan, In-Sha-Allah, lebih-lebih lagi di Bank Islam ini sahaja terdapat 1231 kakitangannya yang merupakan alumni UiTM. Saya percaya kempen ini akan dapat dijayakan.

Selain daripada itu, saya amat berterima kasih juga kepada Ahli Lembaga Pemegang Amanah TP1B, kerana telah bersetuju untuk memperkenalkan kemudahan “JOMPAY”, bagi memudahkan lagi para penyumbang untuk membuat sebarang sumbangan kepada TP1B ini. Ini menjadikan Bank Islam sebagai bank utama bagi pengurusan JomPAY bagi pihak TP1B. Dengan wujudnya usaha sama ini, para penyumbang kini boleh menyalurkan sumbangan mereka kepada TP1B melalui platform JomPAY yang disediakan. Mereka boleh membuat pindahan dana secara online daripada akaun mereka, melalui mana-mana bank pilihan mereka.

Kaedah sumbangan melalui JomPAY ini lebih mudah dan menyenangkan. In-Sha-Allah, usaha sama ini dapat menyediakan satu platform transaksi bagi memberi kemudahan dan akses kepada mereka yang ingin menyumbang ke arah pencapaian pendidikan anak-anak Malaysia. Dan dengan adanya kemudahan ini, kami menjangka peningkatan sumbangan sebanyak hampir RM2 juta boleh dicapai dalam tempoh tiga tahun.

Hadirin yang dihormati sekalian,

Sukacita kami maklumkan di sini, bahawa Bank Islam telah pun memberi sumbangan sebanyak RM200,000 kepada TP1B pada tahun lepas. Dan pada hari ini, Bank Islam telah bersetuju untuk menyumbang sebanyak RM50,000 kepada TP1B. Saya dengan sukacitanya juga ingin memaklumkan pada hari ini, bahawa Bank Islam akan meneruskan komitmen sumbangan tahunan kepada TP1B ini, dengan komitmen kami sebanyak RM30,000 setahun, selama tiga tahun, bermula 2017, In-Sha-Allah. Komitmen sumbangan kami ini adalah selaras dengan ikrar tanggung jawab korporat kami untuk memberi peluang kepada semua golongan masyarakat untuk mendapat pendidikan terbaik agar dapat meningkatkan kualiti hidup masyarakat di Negara ini.

Hadirin, Bank Islam sentiasa menyalurkan sumbangan kepada agenda pendidikan setiap tahun.  Pada tahun 2014, Bank Islam telah mengagihkan lebih daripada RM1.2 juta untuk tujuan pendidikan dan jumlah ini kian meningkat, di mana pada tahun 2015 pula, lebih RM1.6 juta telah diagihkan. Dan pada tahun ini, lebih daripada RM2.0 juta dapat disalurkan kepada para pelajar, Alhamdulillah. Harapan kami, semoga angka sumbangan terhadap pendidikan ni akan terus meningkat dengan sokongan yang diberi oleh para pelanggan kami.

Kami di Bank Islam amat berbesar hati atas usaha sama ini kerana TP1B yang diusahakan oleh Persatuan Alumni UiTM ini merupakan satu inisiatif yang membantu anak-anak Malaysia untuk meneruskan pengajian mereka dan menjadi graduan berjaya, yang akan menyumbang kepada pembangunan negara. Tidak dapat dinafikan bahawa pendidikan merupakan tunjang bagi setiap kejayaan negara dan bangsa. Dan, Bank Islam merasa amat bangga kerana dapat mengambil bahagian dalam inisatif murni ini.

Justeru, usaha yang dilaksanakan oleh Persatuan Alumni UiTM ini diharap dapat memberi kesedaran serta galakkan kepada para penyumbang, tidak kira ahli alumni UiTM mahupun sesiapa sahaja, untuk memainkan peranan penting demi memastikan generasi akan datang mendapat jaminan pendidikan bagi masa depan mereka.

Tuan-Tuan dan Puan-Puan sekalian,

Akhir kata, saya ingin mengambil kesempatan ini untuk merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada Persatuan Alumni UiTM atas usaha murni ini dalam memberi peluang kepada anak-anak Malaysia untuk mendapat hak pendidikan mereka. Juga kepada semua pihak yang telah berusaha bagi menjayakan pemeteraian sinergi ini, terima kasih saya ucapkan. Semoga hubungan strategik ini dapat diteruskan untuk tahun-tahun selanjutnya dan moga usaha kita bersama mendapat keberkatan daripada Allah S.W.T. In-Sha-Allah.

Sekian, terima kasih.

 

Leave a Reply

Your email address will not be published.