PAUiTM, YPPB berkolaborasi bantu anak bangsa capai kecemerlangan

PAUiTM, YPPB berkolaborasi bantu anak bangsa capai kecemerlangan
Exco PAUiTM berbincang dan bertukar-tukar pandangan dengan Raja Azura di pejabat Yayasan Peneraju baru-baru ini.

 

Oleh Norila Daud

KUALA LUMPUR – Persatuan Alumni UiTM (PAUiTM) akan mengadakan kolaborasi dengan Yayasan Peneraju Pendidikan Bumiputera (YPPB) bagi memperkasakan usahanya membantu anak-anak bangsa mencipta kejayaan dalam bidang akademik dan profesional.

Presiden PAUiTM, Datuk Zaini Hassan berkata, kolaborasi antara kedua-dua pihak itu penting berikutan masing-masing mempunyai objektif dan misi yang sama dalam usaha membantu anak-anak bangsa mencapai kecemerlangan.

IMG_8774

Zaini Hassan menerima cenderahati daripada Raja Azura Raja Mahayuddin di pejabat Yayasan Peneraju Pendidikan Bumiputera di Kuala Lumpur baru-baru ini. Turut sama, Timbalan Presiden PAUiTM, Datin Sri Azlina Ahmad.

Menurut Zaini, PAUiTM membantu anak-anak bangsa menerusi Tabung Pendidikan 1Bilion (TP1B) yang dilancarkan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak pada tahun 2015 dengan Petunjuk Prestasi Utama (KPI) mencari dana sebanyak mungkin bagi menyalur biasiswa kepada golongan pelajar yang cemerlang dan layak mengikut kriteria yang ditetapkan.

“Sekiranya visi dan misi kedua-dua pihak adalah sama iaitu membantu golongan pelajar yang kurang bernasib baik dan berpotensi untuk cemerlang menerusi bantuan biasiswa dan bimbingan sewajarnya, maka sasaran untuk melahirkan generasi muda cemerlang dan rakyat berpendapatan tinggi menjelang tahun 2020 mampu direalisasikan.

IMG_8777

Raja Azura menerima cenderahati daripada Zaini Hassan selepas mengadakan perbincangan dengan barisan exco PAUiTM di pejabat Yayasan Peneraju baru-baru ini.

“Adalah wajar kerjasama erat antara PAUiTM dan Yayasan Peneraju yang boleh memanfaatkan anak-anak bangsa diseragamkan dan diperkasakan menurut kerangka yang akan dipersetujui bersama,” katanya ketika barisan kepemimpinan PAUiTM mengadakan kunjung hormat di Pejabat Yayasan Peneraju Pendidikan Bumiputera di sini baru-baru ini.

Menurut Zaini, untuk tujuan itu kedua-dua pihak perlu duduk bersama dan membincangkan perkara tersebut dalam masa terdekat supaya hasrat membantu anak-anak bangsa dapat diperkasakan secara lebih terancang, tersusun dan menyeluruh.

IMG_8779

Sementara itu Ketua Eksekutif Yayasan Peneraju, Raja Azura Raja Mahayuddin berkata, antara program yang diusahakan pihaknya ialah Peneraju Tunas  yang bersandarkan kepada pepatah “melentur buluh biarlah dari rebungnya”.

Menurut beliau, Yayasan Peneraju komited dalam memperjuangkan masa depan bakat muda seawal usia 12 tahun hingga ke peringkat remaja yang datang dari persekitaran mencabar tetapi berpotensi untuk digilap bakatnya.

IMG_8782

Barisan exco PAUiTM merakamkan gambar kenangan di hadapan pejabat Yayasan Peneraju selepas mengadakan pertemuan dengan Raja Azura Raja Mahayuddin.

“Kita perlu memberi ruang dan peluang kepada bakat muda menerusi penyediaan asas pendidikan yang berkualiti.,” katanya ketika memberi penerangan mengenai aktiviti dan program Yayasan Peneraju secara panjang lebar.

Menurut beliau, Program Peneraju Tunas Geliga dan Azam (lepasan UPSR) dan Peneraju Tunas Potensi (lepasan SPM/STPM) yang melibatkan 490 orang di seluruh negara menerima pembiayaan pendidikan dan sedang melanjutkan pelajaran di Maktab Rendah Sains Mara, sekolah berasrama penuh, harian, Institut Pengajian Tinggi Awam (IPTA) dan Institut Pengajian Tinggi Swasta (IPTS) di dalam dan luar negara.

Beliau turut memberitahu, pihaknya menerima dana melalui geran kerajaan dan sumbangan daripada sektor korporat. Dana tersebut digunakan untuk pembiayaan dan pengurusan biasiswa kepada penerima-penerima faedah.

IMG_8784

Bagi tahun 2016, Yayasan Peneraju diberi mandat membangunkan kira-kira 6,455 bakat Bumiputera menerusi peruntukan bajet RM150 juta. Sasaran itu merangkumi penyediaan 850 biasiswa menerusi Peneraju Tunas, 4,305 biasiswa menerusi Peneraju Skil dan 1,300  biasiswa menerusi Peneraju Profesional.

Raja Azura turut memberitahu, Yayasan Peneraju menawarkan sejumlah 10,325 biasiswa sehingga 30 September 2016 untuk peringkat kedua iaitu antara tahun 2015 sehingga 2017. Pada peringkat pertama ketika badan itu diwujudkan seramai 3,989 menerima biasiswa antara tahun 2012 hingga 2014 iaitu ketika Yayasan Peneraju merangka, melaksanakan program serta menyediakan asas.

Jelas beliau, pada peringkat ketiga pula sejumlah 20,790 penerima biasiswa yang menjadi mentor kepada yang lain dan menjadi rujukan disasarkan untuk tempoh 2018 hingga 2020. Sasaran ini selaras dengan usaha melebarkan jangkauan bidang yang diusahakan.

 

Leave a Reply

Your email address will not be published.