PAUiTM/FUU anjur Wacana Memperkasakan Mahkamah Syariah dan Perundangan Syariah 8 Mac

PAUiTM/FUU anjur Wacana Memperkasakan Mahkamah Syariah dan Perundangan Syariah 8 Mac
Zaini (tengah) memperkatakan sesuatu pada mesyuarat Wacana Memperkasakan Mahkamah Syariah dan Perundangan Syariah di Malaysia di FUU, UiTM baru-baru ini. Turut kelihatan Mohamad (kanan) dan Haidar (kiri).

 

Oleh Norila Daud

SHAH ALAM – Bagi membincangkan isu-isu semasa secara intelektual dan berunsur akademik dalam kalangan warga kampus, Persatuan Alumni UiTM (PAUiTM) dengan kerjasama Fakulti Undang-undang (FUU) buat pertama kalinya menganjurkan Wacana Memperkasakan Mahkamah Syariah dan Perundangan Syariah di Malaysia pada 8 Mac ini.

Presiden PAUiTM Datuk Zaini Hassan berkata, Siri Wacana PAUiTM 2017 yang pertama itu tidak berunsur politik sebaliknya merupakan platform untuk membincangkan perundangan syariah dan isu-isu kontroversi berkaitan dengannya.

IMG_8951

Apakah agaknya yang mencuit hati ahli-ahli mesyuarat Siri Wacana PAUiTM pertama di FUU baru-baru ini. Dari kanan, Pensyarah Undang-undang UiTM, Habibah Omar; Ahli-ahli Exco PAUiTM, Afiza Aziz, Datin Sri Azlina Ahmad, Marlia Abdul Majid dan Pensyarah Undang-undang, Mazlina Mansoor (paling kiri).

“PAUiTM mahu warga kampus UiTM turut membincangkan isu-isu semasa yang hangat diperkatakan oleh masyarakat tempatan secara ilimiah dan berunsur akademik. Kita mahu warga kampus menjadikan perbincangan berhubung isu-isu semasa secara sihat, positif dan tidak dipengaruhi unsur-unsur politik.

“Warga kampus perlu peka dan memahami isu-isu semasa dan seterusnya menjadikan perbincangan sebagai budaya sihat dalam kampus”, katanya selepas mesyuarat berhubung wacana tersebut di Fakulti Undang-undang di UiTM baru-baru ini.

Turut hadir mantan Hakim Mahkamah Rayuan Syariah, Datuk Mohamad Abdullah selaku penasihat  wacana itu.

Wacana julung-julung kali diadakan itu akan berlangsung di Auditorium Dua, Fakulti Undang-undang dengan menampilkan tiga ahli panel iaitu Felo Utama, Pusat Kajian Syariah, Undang-undang dan Politik (Syarak) Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIM) Prof. Madya Dr. Shamrahayu Ab. Aziz, Naib Presiden Pertubuhan Muafakat Sejahtera Malaysia, A.Karim Omar dan mantan Pengarah Akademi Pengajian Islam Universiti Malaya, Prof. Datuk Dr. Hidayat Buang.

IMG_8955

Anggota mesyuarat bergambar selepas meninjau Auditorium Dua FUU di mana wacana akan berlangsung.

Sementara itu moderator wacana itu ialah Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif Institut Kajian Antarabangsa (IAIS) Prof. Madya Dr. Muhammad Azam Mohamed Adil.

Orang ramai dijemput hadir ke wacana yang bermula 8.30 pagi (pendaftaran) sehingga 1.00 petang itu.

Sehubungan itu, Dekan Fakulti Undang-undang UiTM, Prof. Madya Dr. Haidar Dziyauddin berkata, pihaknya sentiasa peka dengan isu-isu semasa berkaitan Islam dan perundangan syariah yang melibatkan negara.

Menurut beliau, kerjasama kedua-dua pihak mengadakan wacana seumpama itu adalah usaha terbaik untuk menyumbang idea dan pandangan berhubung undang-undang syariah yang termaktub dalam Perlembagaan Malaysia di samping menjadi sebahagian daripada sistem perundangan negara.

Berhubung isu kontroversi Rang Undang-undang Akta 355 iaitu Akta Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah) 1965 Pindaan 1984, yang turut akan disentuh pada wacana itu, Haidar berkata, ianya akan dibincangkan dalam perspektif akademik.

“Hasil daripada perbincangan yang diperoleh daripada wacana itu, pihak FUU akan menerbitkan monograf dengan memberi penjelasan kepada beberapa persoalan berhubung Mahkamah Syariah dan pindaan yang ditimbulkan oleh masyarakat sejak kebelakangan ini,” jelasnya ketika ditemui di UiTM baru-baru ini.

 

Leave a Reply

Your email address will not be published.