Pelajar dinasihat kembali berbakti kepada TP1B setelah mencapai kejayaan

Pelajar dinasihat kembali berbakti kepada TP1B setelah mencapai kejayaan
Zaini (lima dari kiri) bersama-sama exco PAUiTM dan para pelajar Kem Pintar TP1B di Majlis Penutup di Auditorium ILD, Bandar Enstek, Negeri Sembilan baru-baru ini.

 

Oleh Norila Daud

 

KUALA LUMPUR – Sejumlah 99 pelajar yang terpilih mengikuti Kem Pintar Tabung Pendidikan 1Bilion (TP1B) 2017, diingatkan supaya menumpukan pelajaran demi mengekalkan kecemerlangan dalam peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) yang bakal diduduki dan seterusnya menjejakkan kaki ke Institusi Pengajian Tinggi (IPT).

Presiden Persatuan Alumni UiTM (PAUiTM), Datuk Zaini Hassan berkata, meneruskan kecemerlangan dalam bidang pelajaran sehingga menjejakkan kaki ke IPT menjadi harapan semua ibu bapa, guru dan juga TP1B.

IMG_9157

Sebahagian peserta Kem Pintar TP1B yang memberi perhatian sepenuhnya kepada penerangan yang diberikan tiga ahli panel forum “Rahsia Kejayaan”.

IMG_9162

Noor Akmal menceritakan bagaimana dia menjaga lima orang adiknya yang masih bersekolah ketika berusia 24 tahun berikutan kedua-dua ibu bapanya meninggal dunia dalam tempoh dua tahun. Akmal adalah antara tiga ahli panel pada forum “Rahsia Kejayaan.”

“Anda semua adalah pelajar terpilih daripada puluhan ribu yang berada di luar sana untuk mengikuti Kem Pintar TP1B.  Saya berharap semua yang diajar oleh tenaga pengajar yang dibawa khas untuk anda  selama tiga hari di Institut Kepimpinan dan Pembangunan (ILD) ini digunakan sebaik mungkin.

“Pesan saya agar anda semua mengekalkan kecemerlangan dalam peperiksaan SPM dan seterusnya menjejakkan kaki ke IPT dengan misi untuk membantu diri dan membela nasib ibu bapa dan ahli-ahli keluarga,” kata Zaini yang juga Timbalan Pengerusi Lembaga Pemegang Amanah TP1B pada acara penutup Kem Pintar TP1B di Auditorium ILD baru-baru ini.

IMG_9183

Ainul Azreen memberi penerangan mengenai cara-cara untuk mencapai matlamat dan kejayaan dalam hidup kepada para pelajar sebelum menutup sessi Kem Pintar TP1B secara rasmi.

IMG_9201

Exco PAUiTM, Dahlim Ismail (empat dari kiri) yang menemani para pelajar dari Perlis untuk menyertai Kem Pintar TP1B di Bandar Enstek, Negeri Sembilan baru-baru ini.

Zaini juga berpesan kepada para pelajar tersebut supaya kembali menyumbang bakti kepada masyarakat melalui aktiviti yang dijalankan PAUiTM dan TP1B setelah berjaya nanti.

Beliau menambah, kesinambungan aktiviti kebajikan dan sumber-sumber untuk membantu para pelajar yang memerlukan akan berterusan dengan kembalinya para pelajar menyumbang bakti kepada TP1B.

IMG_9204

Zaini menunjukkan tanda bagus ketika bergambar bersama-sama kumpulan dari Kedah yang merupakan peserta Kem Pintar TP1B paling ramai pada sessi 2017.

IMG_9215

Sekumpulan pelajar menghiburkan para hadirin di Majlis Penutup Kem Pintar TP1B baru-baru ini.

Sementara itu, Naib Presiden PAUiTM, Dr. Ainul Azreen Adam yang secara rasminya menutup Kem Pintar TP1B berpesan agar para pelajar menumpukan perhatian serius kepada pelajaran dengan matlamat untuk menjadi seorang yang berjaya dan cemerlang dalam apa jua bidang yang diceburi.

Menurutnya, tiada siapa yang mengetahui apa yang anda mahu dan capai dalam hidup melainkan diri anda sendiri. Jika anda yakin dengan kebolehan diri dan berusaha gigih untuk mencapainya, pasti satu hari nanti anda akan mencapai matlamat yang diidamkan.

Ainul menasihatkan pelajar supaya jangan lupa berdoa dalam apa jua yang dilakukan termasuk untuk kesejahteraan ibu bapa yang menjaga kita sejak lahir sehingga dewasa.

IMG_9218

Zaini menasihati pelajar supaya kembali berbakti kepada PAUiTM dan TP1B setelah mencapai kejayaan dalam hidup.

IMG_9229

Para pelajar besalaman dengan barisan pemimpin PAUiTM sebelum mengakhiri program Kem Pintar TP1B yang berlangsung selama empat hari di ILD.

Menceritakan kisah hidupnya selepas menduduki peperiksaan SPM,  Ainul berkata, dia mengambil kursus yang tidak disukai oleh kedua-dua ibu bapanya. Mereka memintanya melanjutkan pelajaran di universiti awam yang lain dan bukan di UiTM dalam bidang perniagaan dan pelaburan.

Oleh sebab yakin dengan kemampuan diri dan berusaha ke arah mencapainya, Ainul berjaya hingga melanjutkan pengajiannya ke peringkat kedoktoran (PhD) di Australia dalam tempoh yang ditetapkan. Dia pulang untuk berkhidmat di UiTM sebagai pensyarah dalam usia awal 30an.

Walaupun ibu bapanya membantah pada awalnya, Ainul akhirnya berjaya membuktikan kemampuannya untuk berjaya dalam bidang yang menjadi pilihannya.

IMG_9251

Pelajar terbaik kategori senior perempuan dimenangi Robiatul Adawiyah Musa dari SMA Khairiah, Terengganiu manakala Muhammad Amirul Iqmal Shahrel Hazley adalah pemenang kategori lelaki.

Terdahulu, pada sesi forum bertajuk “Rahsia Kejayaan”, tiga ahli panel yang berjaya dalam bidang masing-masing telah berkongsi pengalaman dengan para pelajar mengenai cabaran dan pahit getir yang terpaksa mereka lalui sebelum mencapai kejayaan.

Tiga orang ahli panel tersebut ialah Noor Akmal Kamarozzaman, Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) NA Master Resources (M) S/B yang juga Naib Presiden PAUiTM; Azwan Abdullah, Jurutera Utiliti, Hartalega Sdn. Bhd. dan Noor Haliza Ramli, Pengurus Kanan Akaun Utama, Sanofi Sdn. Bhd.

Ketiga-tiga ahli panel itu menyuntik semangat para pelajar supaya jangan mudah mengalah sebaliknya sentiasa bersabar, tabah dan berdoa ketika menghadapi ujian Allah.

IMG_9259

Andi Salleh Wangi dari SMK Labuan, Sabah dan Izzah Zafirah Basri dari SMK Jitra, Kedah muncul sebagai pelajar terbaik kategori junior, Kem Pintar TP1B sessi 2017.

Menurut ketiga-tiga ahli panel tersebut, setiap pelajar mesti “meneroka potensi diri” dan berani mencuba sehingga berjaya. Bekerja keras dan yakin dengan kemampuan diri adalah antara resipi kepada kejayaan yang mereka peroleh hari ini.

Selain daripada itu kata mereka, setiap pelajar mesti mempunyai hobi dan melakukannya di masa lapang. Tiada manusia yang hidup hanya untuk belajar dan bekerja tanpa ada masa lapang untuk melakukan sesuatu yang menjadi kegemaran atau hobi.

Pelajar juga dinasihatkan supaya berinteraksi dengan orang lain menerusi aktiviti kelab dan persatuan di sekolah-sekolah untuk mendapat bantuan dan membantu orang lain di samping membina sifat-sifat kepemimpinan dalam diri masing-masing.

 

Leave a Reply

Your email address will not be published.