Sultan Muhammad V dimasyhur sebagai Canselor UiTM kelima

Sultan Muhammad V dimasyhur sebagai Canselor UiTM kelima
Canselor UiTM Ke-5, Sultan Muhammad V menyampaikan ijazah kepada para graduan pada Istiadat Konvokesyen UiTM Ke-86 di DATC, UiTM Shah Alam pagi tadi.

 

Oleh Norila Daud

 

SHAH ALAM 15 April – Istiadat Konvokesyen Universiti Teknologi MARA (UiTM) Ke-86 hari ini  amat bersejarah dengan berlangsungnya Istiadat Pemasyhuran Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong XV, Sultan Muhammad V sebagai Tuanku Canselor UiTM yang kelima di sini hari ini.

Baginda Sultan Muhammad V menggantikan Sultan Abdul Halim Mu’adzam Shah, Canselor UiTM yang keempat berikutan tempoh lima tahun penggal pemerintahan baginda sebagai Yang di-Pertuan Agong ke-14 tamat pada 12 Disember 2016.

agong pemashyuran-ucapan

Selepas istiadat pemasyhuran sebagai Tuanku Canselor UiTM disempurnakan, Baginda bertitah: “Beta berangkat ke UiTM bagi menyempurnakan istiadat pemasyhuran beta sebagai canselor serta menyampaikan ijazah bagi sidang pertama Istiadat Konvokesyen UiTM ke-86 hari ini.

“Beta amat gembira dengan berita kejayaan dan pencapaian UiTM dalam pelbagai aspek yang meningkat dari tahun ke tahun. Sebagai canselor, beta akan turut bersama-sama dengan warga UiTM memberi sokongan dan dorongan agar dapat mengangkat universiti ini menjadi yang terbaik di dalam negara dan terkenal di seluruh dunia.”

SHO_1833

Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Idris Jusoh menyerahkan watikah kepada Yang di-Pertuan Agong, Sultan Muhammad V sempena Istiadat Pemasyhuran Tuanku Canselor kelima di Dewan Agung Tuanku Canselor (DATC), UiTM Shah Alam pagi tadi.

Baginda juga yakin dengan sokongan dan kerjasama yang dijalin, kesinambungan institusi itu akan sentiasa saling melengkapi antara satu sama lain ke arah menjana modal insan pemimpin masa depan yang bertamadun untuk kemakmuran negara.

“UiTM hendaklah memanfaatkan sumber, kepakaran dan pengalaman yang ada dalam pelbagai bidang serta disiplin dan seterusnya mengoptimumkan keupayaan masing-masing demi kepentingan masa depan negara,” titah Baginda.

Turut hadir pada majlis tersebut, Presiden Persatuan Alumni UiTM (PAUiTM) Datuk Zaini Hassan yang juga ahli Lembaga Pengarah UiTM, golongan akademik UiTM, graduan dan ibu bapa masing-masing.

Baginda Sultan Muhammad turut mengucapkan tahniah kepada 28,618 graduan yang menerima ijazah kedoktoran, sarjana, ijazah sarjana muda dan diploma dalam istiadat konvokesyen kali ini.

SHO_1875a

Mantan Pengerusi Suruhanjaya Sekuriti Malaysia, Tan Sri Zarinah Anwar menerima watikah daripada Sultan Muhammad V berikutan pelantikannya sebagai Pro-Canselor UiTM yang baharu.

Baginda juga mengingatkan bahawa UiTM yang ditubuhkan sejak lebih 60 tahun adalah sebuah institusi bangsa yang memainkan peranan utama dalam membela nasib kaum Melayu dan Bumiputera melalui penimbaan ilmu pendidikan tinggi yang berpaksikan pada nilai-nilai murni dan etika profesionalisme.

Baginda turut megucapkan tahniah kepada Tan Sri Zarinah Anwar di atas pelantikannya sebagai Pro-Canselor UiTM yang baharu.

Terdahulu, Naib Canselor UiTM, Profesor Emeritus Datuk Dr. Hassan Said dalam ucapan sembah kenalnya berkata,  sehingga tahun ini UiTM mengeluarkan hampir 715,795 graduan yang kini mengisi jawatan-jawatan penting dalam sektor swasta dan kerajaan di samping menjadi usahawan.

“Daripada segi kebolehpasaran, UiTM  mengeluarkan lebih daripada 30,000 graduan setiap tahun dan mereka mendapat pekerjaan dalam tempoh enam bulan selepas tamat pengajian. Keadaan ini  meletakkan graduan UiTM pada tahap tertinggi berbanding universiti-universiti tempatan yang lain,” jelasnya.

group pix with agong

Para tetamu kehormat bergambar kenangan dengan Yang di-Pertuan Agong, Sultan Muhammad V sempena Majlis Pemasyhuran Canselor UiTM kelima dan Istiadat Konvokesyen UiTM Ke-86 di Shah Alam pagi tadi.

Hassan memberitahu, bakat yang dilahirkan UiTM diiktiraf daripada segi kebolehan, kemahiran dan kepakaran, justeru itu, menjadi pilihan utama majikan dan industri pekerjaan.

Beliau juga berkata, kualiti graduan UiTM berkait rapat dengan kurikulumnya dan kebanyakan  program-program ijazah yang ditawarkan mendapat pengiktirafan daripada badan-badan profesional dari dalam dan luar negara. -habis

 

 

Leave a Reply

Your email address will not be published.