50 wakil  persetujui Persekutuan Alumni UiTM ditubuhkan

50 wakil  persetujui Persekutuan Alumni UiTM ditubuhkan
Antara 50 wakil bergambar kenangan bersama Zaini Abdullah (barisan hadapan lima kiri) selepas mesyuarat penubuhan Persekutuan Alumni UiTM baru-baru ini.

 

Oleh Norila Daud

Shah Alam – Cadangan mewujudkan Persekutuan Alumni UiTM diterima sebulat suara oleh sekumpulan 50 orang yang terdiri daripada timbalan dekan, rektor, wakil-wakil persatuan alumni di   peringkat fakulti dan kampus cawangan di seluruh negara di sini baru-baru ini.

Mesyuarat penubuhan Persekutuan Alumni UiTM yang diadakan di Bilik Sidang, Canseleri Tuanku Syed Sirajuddin itu turut menyetujui barisan Exco Persatuan Alumni UiTM (PAUiTM) menjadi jawatankuasa ‘protem’ bersama beberapa presiden persatuan alumni UiTM sebagai penggerak penubuhan persekutuan sehingga April 2018.

IMG_9433

Beberapa wakil tidak melepaskan peluang bertanyakan pelbagai soalan kepada Zaini Abdullah.

Antara objektif menggabungkan kesemua persatuan alumni UiTM di bawah persekutuan ialah untuk menyatukan seluruh warga Alumni UiTM,  mendapat dan melengkapkan pengkalan data alumni secara menyeluruh dan seterusnya Persekutuan Alumni UiTM akan bertindak sebagai ‘Satu Suara’.

Cadangan penubuhan persekutuan itu diilhamkan oleh Presiden PAUiTM, Datuk Zaini Hassan yang mahu melihat semua persatuan alumni UiTM disatukan di bawah satu payung secara berstuktur.

IMG_9432

Zaini Abdullah memberi penjelasan panjang lebar tentang objektif penubuhan Persekutuan Alumni UiTM di Bilik Sidang, Canseleri Tuanku Syed Sirajuddin, UiTM, Shah Alam baru-baru ini.

Timbalan Naib Canselor, Prof. Dr. Zaini Abdullah yang bertindak sebagai pengerusi mesyuarat itu menggariskan syarat-syarat penubuhan persatuan UiTM antaranya ialah; ia perlu berdaftar dengan Jabatan Pendaftaran Pertubuhan Malaysia (ROS) dan mendapat kelulusan Lembaga Pengarah Universiti (LPU) berdasarkan Undang-undang Malaysia, Akta 173 Universiti Teknologi MARA.

Seksyen 16B (2) Akta itu  menyatakan; setiap persatuan alumni hendaklah ditadbir dan ditadbir urus mengikut perlembagaannya, dan perlembagaan tersebut tidak boleh berkuatkuasa melainkan kelulusan secara bertulis diperoleh terlebih dahulu dari Lembaga Pengarah Universiti.

IMG_9431

Memberi tumpuan… Sebahagian wakil persatuan alumni UiTM yang hadir pada mesyuarat itu.

Cadangan penubuhan Persekutuan Alumni UiTM itu turut akan dibincangkan pada Mesyuarat Agung PAUiTM Ke-7 pada 22 April ini di Mines Resort and Golf Club, Sri Kembangan, Selangor.

Terdapat sebanyak 26 fakulti di UiTM, namun hanya 18 persatuan alumni ditubuhkan sehingga hari ini.  Persatuan Alumni UiTM (PAUiTM) dan Persatuan Alumni Majlis Perwakilan Pelajar UiTM (PIMPIN) adalah antara dua persatuan yang bergerak aktif sehingga kini. Dalam pada itu terdapat tujuh  persatuan alumni di fakulti UiTM manakala sembilan lagi persatuan alumni di kampus UiTM.

IMG_9424

Naib Presiden PAUiTM, Noor Akmal Kamarozzaman (belakang) dan Exco Mohd. Faizal Fuad turut menghadiri mesyuarat pada Isnin lalu.

Sementara itu cadangan penubuhan Persekutuan Alumni UiTM bermula pada Ogos 2014 dengan satu mesyuarat ‘Joint Consultative Council’ antara Pejabat Jaringan Industri Masyarakat dan Alumni (ICAN), Persatuan Alumni UiTM dan ‘alumni chapters’ diadakan.

Antara objektif penubuhan Persekutuan Alumni UiTM ialah ia sebagai platform bagi PAUiTM, Pejabat ICAN dan ‘alumni chapters’ membincangkan perancangan strategik, memberi penerangan berkaitan Tabung Pendidikan 1 Bilion dan mengukuhkan ukhwah di antara persatuan alumni, Pejabat ICAN dan ‘alumni chapters’.

Berikutan pada Jun 2015, satu lagi perbincangan mengenai gerak kerja ke arah penubuhan Persekutuan Persatuan Alumni diadakan bersama PAUiTM, Pejabat ICAN dan ‘alumni chapters’.

Seterusnya pada 3 April 2017, PAUiTM dan Pejabat Jaringan Industri, Komuniti, Alumni dan Keusahawanan (ICAEN) mengadakan mesyuarat bersama bagi membincangkan hal-hal berkaitan penubuhan Persekutuan Alumni UiTM dan seterusnya mengadakan mesyuarat dengan wakil-wakil persatuan alumni dari seluruh negara pada 17 April lalu.

 

Leave a Reply

Your email address will not be published.