22 April: Hikayat ITM, UiTM sehari semalam

22 April: Hikayat ITM, UiTM sehari semalam
Tan Sri Arshad Ayub turut menyanyikan lagu Inilah Barisan Kita bersama-sama bekas Pengarah ITM, Datuk Mansur Salleh (kanan), Ibrahim Ali dan bekas Naib Canselor UiTM, Tan Sri Ibrahim Abu Shah di Malam Nostalgia 22 April 1974 di Kuala Lumpur.

 

 

Oleh Zaini Hassan

 

(MALAM)

TARIKH 22 April cukup signifikan. Ia juga hari lahir kepada Ratu Elizabeth, yang dalam satu laporan beberapa hari lalu mengatakan Perang Dunia Ketiga boleh meletus pada tahun ini, 2017.

Bagi Ibrahim Ali (Datuk Paduka), bekas pemimpin pelajar KSITM, Kesatuan Siswa Institut Teknologi Mara, ia adalah satu tarikh keramat kepada beliau dan rakan-rakannya.

Pada tarikh itulah, 43 tahun lalu pada 1974 sekumpulan 6,000 pelajar ITM melancarkan demonstrasi besar-besaran, sehingga menyebabkan Perdana Menteri, Tun Razak terpaksa campur tangan dan mendapat perhatian nasional.

Slogan demonstrasi itu dikenali sebagai Bumiputera Bertindak.

Beribu-ribu pelajar itu melancarkan tunjuk perasaan – termasuk pelajar kejuruteraan merampas kereta api dari stesen Batu 3, Shah Alam dan memandu sehingga ke Kuala Lumpur. Pelajar katering menyediakan makanan kepada pendemonstran, serta kajian sebaran am menyediakan bahan-bahan propaganda dan sebagainya.

Ibrahim cukup ingat peristiwa itu. Peristiwa itu akhirnya membawa impak kepada hala tuju institusi keramat itu sehingga diangkat ke status universiti.

Pada malam 22 April lalu, bekas pelajar yang terbabit dalam peristiwa itu berkumpul di sebuah hotel di Kampung Baru bagi memperingati hari tersebut.

“Saya mungkin tidak lama lagi (hidup), lepas ini apabila saya tiada, sesiapa di sini termasuk Datuk Naim (Mohamad), teruskan majlis peringatan ini,” kata Ibrahim, yang baru lulus Ph.D dengan gelaran Doktor Falsafah. Dalam peristiwa itu Naim, bekas pelajar kejuruteraan dibuang dari ITM, tetapi kemudian melanjutkan pelajaran ke luar negara.

Ibrahim pula disumbat ke Kem Kamunting di bawah ISA. Beliau akhirnya lulus dan mendapat diploma Sebaran Am semasa dalam tahanan.

Pada malam itu, Ibrahim dan rakan-rakannya yang dikenali dengan jolokan ‘geng Gestapo’ (polis rahsia semasa zaman Nazi Jerman), melancarkan satu video dokumentari memperingati peristiwa itu.

Ia dilancarkan oleh pengetua mereka semasa kejadian itu, Pak Arshad Ayub (Tan Sri). Semua mereka menyanyikan lagu “Inilah Barisan Kita”.

Bagaikan kumpulan ‘rebus tak empuk’ Arshad berkata “mereka ini akhirnya menjadi manusia.”

Malam itu, yang turut saya hadiri sebagai tetamu, suasananya cukup nostalgik.

Antara yang hadir malam itu ialah  Ibrahim Abu Shah (Tan Sri), mantan Naib Canselor pertama dari kalangan alumni ITM, Datuk Prof Dr Husin Rahman, Timbalan Presiden KSITM (kini Profesor Undang-Undang), Omar Jaafar (bekas Setiausaha KSITM), Anuar Tahir, bekas Penolong Setiausaha KSITM (kini Setiausaha Agung Parti Amanah), Datuk Naim Mohamad bekas Speaker KSITM, YB Datuk Malek Husin (kini Exco Kerajaan Pulau Pinang), Rahman Salleh (bekas Pengerusi Jawatankuasa Menuntut ITM Dinaik Taraf Universiti, Kamar Aniah Kamaruzaman (kini Peguambela), Hasnar Ibrahim Gestapo dan ramai lagi.

Kira-kita 80 orang hadir termasuk Presiden KSITM 1970 Zahari Awang dan Abdullah Baba, Presiden KSITM 1975-1977.

Itulah gelombang kebangkitan pelajar dan tunjuk perasaan yang terbesar dalam sejarah negara.

Dari wajah yang rata-rata melewati usia 60an, semangat mereka masih waja!

IMG_9477

Para alumni yang hadir di Mesyuarat Agung Persatuan Alumni UiTM Malaysia (PAUITM) di The Mines Golf Club pada 22 April 2017.

IMG_9504

(PAGI)

Kira-kira 43 tahun kemudian, Persatuan Alumni UiTM Malaysia (PAUiTM), persatuan induk persatuan-persatuan alumni di bawah universiti itu mengadakan mesyuarat agungnya.

Kira-kira 100 orang hadir. Ia diadakan di The Mines Golf Club. Pelbagai isu dibincang termasuk menggabungkan kesemua persatuan-persatuan alumni itu di bawah sebuah persekutuan.

Jika kumpulan Bumiputera Bertindak itu meletakkan landasan kepada kesemua alumni, Persekutuan ini bakal ditubuhkan bagi memberi lebih impak kepada kekuatan alumni UiTM, ITM, Maktab RIDA seramai lebih 600,000 orang.

Ia akan menjadi pendokong dan tulang belakang kepada kemajuan dan kekuatan institusi keramat Melayu Bumiputera UiTM sekarang. Para Alumni bertekad mahu melihat universiti itu menjadi institusi pengajian tinggi terulung di negara.

Pada masa ini ITM, UiTM telah melahirkan ramai kapten-kapten industri negara.

Sempena AGM itu juga satu Pertandingan Golf Persahabatan Alumni UiTM telah diadakan di kelab golf itu, yang kini diuruskan oleh alumni UiTM, Datuk Khay Ibrahim dari Zikay Group.

ba61cc36-de41-4b22-8934-00a5123698b8

Bergambar beramai-ramai di majlis kenduri perkahwinan anak Raja Ahmad Aminullah (berdiri empat dari kiri) di A-Park, Puchong pada 22 April 2017.

(PETANG)

Saya dijemput oleh seorang alumni ITM pada 1970an ke satu majlis perkahwinan yang menghimpunkan ramai alumni ITM/UiTM di satu perkampungan dikenali sebagai A-Park, Pulau Meranti, Puchong. A-Park ialah perkampungan ala terusan air di Belanda.

Tuan rumah majlis itu ialah Raja Ahmad Aminullah, pelajar kumpulan ketiga jurusan Sebaran Am ITM, juga bekas seorang peguam. Beliau juga bekas Ahli Lembaga Pengarah Utusan Melayu.

“Saya kumpulkan kawan-kawan saya dari ITM Shah Alam, old boys Malay College Kuala Kangsar dan lain-lain,” kata Raja Ahmad yang kini mengusahakan galeri lukisan R A Fine Arts di Jalan Kampung Pandan, Kuala Lumpur.

Ramai sasterawan negara, bekas-bekas editor akhbar, politikus termasuk Mat Sabu hadir di majlis perkahwinan anak lelaki Raja Ahmad, Raja Khairul Anwar.

Cukup meriah kenduri-minum petang  itu dengan gelak-tawa para tetamu.

Itulah semangat siswa-siswi ITM, yang sering digelar – sehingga kini – sebagai golongan “kelas ketiga”!

 

Nota: Penulis juga ialah Presiden Persatuan Alumni UiTM Malaysia (PAUiTM)

http://cuitzainihassan.com/wordpress/index.php/2017/04/25/22-april-hikayat-itm-uitm-sehari-semalam/

Leave a Reply

Your email address will not be published.