Naik taraf UiTM Kelantan perlu jadi keutamaan

Naik taraf UiTM Kelantan perlu jadi keutamaan

Simbolik perasmian majlis disempurnakan Mustapa (tiga, kanan).

KOTA BHARU – Kerajaan Persekutuan perlu memberi tumpuan kepada usaha untuk menaik taraf Universiti Teknologi Mara (UiTM) Kelantan sebagai keutamaan dalam rancangan pembangunan pada masa depan.

Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Seri Mustapa Mohamed berkata, bilangan pelajar UiTM Kelantan bagi Kampus Kota Bharu kini mencecah 1,800 orang, manakala Kampus Machang pula mencecah 7,000 orang.

Beliau berkata, bilangan tersebut akan terus bertambah seiring dengan peranan UiTM Kelantan yang kini menjadi antara institusi pendidikan tinggi utama di negeri ini.

“Kampus Kota Bharu sekarang berkembang pesat mempunyai masa depan yang cukup cerah. Oleh sebab itu kita perlu berusaha menaik taraf kampus ini bagi memastikan ia mempunyai kelengkapan prasarana mencukupi.

“Kita harap kerajaan dapat mempertimbangkan perkara ini dan menjadikan usaha menaik taraf UiTM Kelantan terutama Kampus Kota Bharu sebagai keutamaan,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar selepas merasmikan Majlis Sireh Pulang Ke Gagang Alumni UiTM Kelantan 2017 serta pelancaran Persatuan Alumni UiTM Kelantan, di sini, malam tadi.

Turut hadir Timbalan Menteri Kemajuan Luar Bandar Wilayah, Datuk Ahmad Jazlan Yaakub; Naib Canselor UiTM, Profesor Emeritus Dr. Hassan Said dan Presiden Persatuan Alumni UiTM Malaysia, Datuk Zaini Hassan.

Majlis turut dihadiri kira-kira 300 alumni itu UiTM Kelantan termasuk usahawan yang diraikan sebagai penerima Anugerah Alumni Tunas Jaya, Anugerah Alumni Harapan dan Ikon Alumni. Mereka ialah Muhammad Faizol Ridhuan Razak dan Mohamad Farhan Mat Yaacob (Anugerah Alumni Tunas); Raaisyah Mohamed Hanafiah (Anugerah Alumni Harapan) dan Mohd. Zulkifli Shafie (Ikon Alumni).

http://www.sinarharian.com.my/nasional/naik-taraf-uitm-kelantan-perlu-jadi-keutamaan-1.714379

Leave a Reply

Your email address will not be published.