Hasil Dugaan Berpuasa: Atlet UiTM, Fatin Nurfatehah Raih Kejayaan KL2017

Hasil Dugaan Berpuasa: Atlet UiTM, Fatin Nurfatehah Raih Kejayaan KL2017

KUALA LUMPUR, 18 Ogos (Bernama) — Komitmen yang tinggi sehingga sanggup berlatih dalam cuaca panas ketika bulan Ramadan jelas tidak sia-sia buat pemanah negara Fatin Nurfatehah Mat Salleh apabila berjaya meraih dua pingat emas dan satu gangsa pada temasya Sukan SEA Kuala Lumpur 2017 (KL2017).

“Saya kagum dengan semangat kakak saya, beliau sentiasa berlatih pada cuaca panas walaupun sewaktu berpuasa,” luah adik Fatin Nurfatehah, Fara Nurliyana.

Fara Nurliyana, 18, yang datang dari Kota Kinabalu, Sabah untuk menyaksikan Fatin Nurfatehah beraksi di Padang Sintetik, Majlis Sukan Negara, Bukit Jalil berkata kakaknya sentiasa berlatih dan bekerja keras untuk Sukan SEA ke-29 itu.

“Saya pernah mengejek beliau, apalah main memanah ini tetapi dia (Fatin) tidak pernah pedulikan semua itu dan beritahu yang dia bercita-cita untuk beraksi di Sukan Komanwel,” katanya kepada Bernama.

Fara Nurliyana turut berkata Fatin Nurfatehah sentiasa menjadi sumber inspirasi kepada semua anggota keluarga sambil mengakui tidak dapat mengikut jejak kakaknya kerana tidak tahan cuaca panas.

Setelah gagal menepati ramalan apabila sekadar meraih pingat gangsa dalam acara Compound Individu Wanita pada hari pertama saingan Rabu lepas, Fatin Nurfatehah bangkit menyumbangkan pingat emas menerusi acara Compound Berpasukan Wanita semalam bergandingan bersama Nurul Syazhera Mohd Asmi dan Saritha Cham Nong.

Hari ini, beliau yang bergandingan dengan Mohd Juwaidi Mazuki memenangi emas dalam acara Compound Berpasukan Campuran selepas menewaskan Myanmar 152-142 dalam saingan akhir acara itu.

Sejurus mengharungi KL2017, pemanah berusia 26 tahun itu bergegas ke Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur untuk terbang ke Taiwan bagi Sukan Universiti Dunia.

Sementara itu, ibu Fatin Nurfatehah, Sulin Eban, 50, mengakui beliau sendiri turut tertekan jika anaknya bertanding di tempat sendiri.

” Semua orang datang berjumpa saya dan bertanya tentang persediaan Fatin… jika di luar negara tidak begitu,” katanya.

Kali ketiga menyaksikan Fatin Nurfatehah beraksi dalam temasya dwitahun itu, Sulin berkata melihat anaknya berjuang di padang sendiri merupakan pengalaman yang sangat berbeza dan berharga.

Beliau yang tiba di Kuala Lumpur pada 16 Ogos lepas bagi menyaksikan aksi pertama Fatin iaitu dalam acara Compound Wanita Individu berkata anaknya hanya pulang ke kampung dua kali setahun kerana fokus kepada latihan memanah dan pengajiannya di Universiti Teknologi Mara (UiTM).

Sulin juga tidak pernah rasa penat untuk terbang ke Semenanjung setiap kali Fatin Nurfatehah beraksi untuk memberi sokongan moral kepada anaknya.

http://www.bernama.com/bernama/v8/bm/newsindex.php?id=1383207

Leave a Reply

Your email address will not be published.