Universiti Teknologi MARA Menang Besar Empat Tahun Berturut-turut di Anugerah Global Islamic Finance Awards (GIFA) 2017

Universiti Teknologi MARA Menang Besar Empat Tahun Berturut-turut di Anugerah Global Islamic Finance Awards (GIFA) 2017

 

Anugerah ini merupakan  satu penghormatan dan pengiktirafan untuk ARI HICoE UiTM  selama empat tahun berturut-turut. Bagi pihak UiTM, kami amat berbangga  dengan anugerah “Global Research Excellence in Islamic Financial Criminology Award 2017” dan  Anugerah Khas GIFA  kepada  Prof Dr Normah Omar – “Advocacy of Islamic Financial Criminology” keatas kepimpinan beliau membawa ARI keperingkat global. Pengiktirafan ini menunjukkan komitmen berterusan pasukan ARI memangkin kecemerlangan dalam agenda “Penyelidikan Kriminologi Kewangan Islam Negara”

 

    Profesor Emeritus Dato’ Dr Hassan Said, Naib Canselor, UiTM

 

Institut Penyelidikan Perakaunan atau lebih dikenali sebagai Accounting Research Institute (ARI HICoE, UiTM), sekali lagi mendapat pengiktirafan antarabangsa di atas usaha yang berterusan, komitmen dan dedikasi dalam menyokong kajian akademik di bidang Kewangan Islam. Pada 6 hb September 2017, di Hotel Hilton, Astana, Kazakstan, ARI sekali lagi telah berjaya merangkul anugerah Global Islamic Finance Awards untuk kategori “Global Research Excellence in Islamic Financial Criminology Award 2017mengatasi institusi-institusi lain dari dalam dan luar negara.

Tahun 2017 juga merupakan kejayaan berganda buat ARI bilamana Pengarah ARI Prof Dr Normah Omar telah di nobatkan pemenang untuk anugerah khas  “Advocacy of Islamic Financial Criminology” atas kejayaan beliau menerajui ARI mempelopori bidang penyelidikan nic Islamic Financial Criminology. Di bawah kepimpinan beliau, ARI HICoE telah diiktiraf diperingkat global dengan memenangi anugerah  GIFA (2014 – 2017), ACQ Global Awards (2015 & 2016), ASEAN Global Risk Awards (2016) dan Global Good Governance Awards (2017)

GIFA merupakan anugerah yang paling berprestij dalam industri perkhidmatan kewangan Islam yang memberi pengiktirafan kepada individu dan organisasi terpilih terhadap kejayaan dan amalan terbaik dalam sektor kewangan Islam. Penganjuran awal GIFA telah dimulakan oleh Edbiz Consulting iaitu sebuah firma perunding kewangan Islam terkemuka yang berpangkalan di London sejak 2011.

Anugerah ini merupakan kejayaan besar buat ARI HICoE UiTM, diiktiraf selama empat tahun berturut-turut. Pada tahun 2016, ARI telah berjaya merangkul anugerah “Best Research and Development in Islamic Finance” di Jakarta, Indonesia. Pada tahun 2015 GIFA telah mengiktiraf ARI untuk kategori “Pioneer in Islamic Financial Criminology Research” di  Manama, Bahrain manakala  pada 2014, ARI dianugerahkan “Best Islamic Finance Education Provider” untuk majlis GIFA di Dubai UAE.

ARI telah menunjukkan pencapaian yang memberansangkan sejak diberi status HICoE pada tahun 2010 oleh Kementerian Pendidikan Tinggi. Selaras dengan hasrat kerajaan untuk menjadikan Malaysia sebagai hub Kewangan Islam global, penglibatan ARI dalam penyelidikan Kriminologi Kewangan Islam bukan sahaja tepat pada masanya, malah mendokong kemampanan Industri Kewangan Islam.  Dalam tempoh lima tahun sejak penubuhannya, ARI telah berjaya menerajui penyelidikan Kriminologi Kewangan Islam.

Penyelidikan ARI dalam Kewangan Islam telah menyaksikan pembangunan produk baru seperti pembiayaan mikro Islam, Keusahawanan Sosial Islam, E-Biz Waqaf dan Kebajikan Sosial Islam. Manakala, penyelidikan dalam Kriminologi kewangan menjurus kepada anti pengubahan wang haram dan pembiayaan anti-keganasan, penipuan kewangan /mekanisme pencegahan rasuah dan pembangunan sistem integriti korporat.

Majlis GIFA 2017 di Astana Kazakhstan turut dihadiri oleh ramai pakar dan professional dari industri kewangan Islam dari seluruh dunia.  Ini termasuk nama-nama besar dari negara-negara seperti Gulf Cooperation Council countries (GCC), Malaysia, USA, Europe, Indonesia and Pakistan. “Peningkatan jumlah pencalonan untuk semua kategori pertandingan untuk tahun ini menunjukkan persaingan yang sangat sengit dan sihat.  Ini membuktikan bahawa industry kewangan Islam semakin berkembang kearah satu tahap yang sangat membanggakan”, ujar Profesor Humayon Dar, Pengerusi dan Presiden  Edbiz Consulting (UK), penganjur utama GIFA.

 

Leave a Reply

Your email address will not be published.