Sembah Takziah Daripada PAUITM Atas Kemangkatan Sultan Kedah Tuanku Abdul Halim

Sembah Takziah Daripada PAUITM  Atas Kemangkatan Sultan Kedah Tuanku Abdul Halim

Sultan Kedah Tuanku Abdul Halim Mu’adzam Shah mangkat pada usia 89 tahun.

Baginda yang juga bekas Canselor Universiti Teknologi Mara (UiTM) Keempat disahkan mangkat pada pukul 2.30 petang, Isnin.

Pemerintah Kedah mencipta sejarah apabila Baginda ditabalkan menjadi Yang Dipertuan Agong buat kali kedua pada tahun 2012, kali pertama adalah pada tahun 1970.

Tuanku Abdul Halim menamatkan tempoh pemerintahannya sebagai Yang Dipertuan Agong ke 14 pada Disember tahun lalu dan digantikan oleh pemerintah Kelantan, Sultan Muhammad V.

Tuanku Abdul Halim diputerakan pada 28 November 1927. Baginda mewarisi takhta pemerintahan negeri Kedah pada 14 Julai 1958 selepas kemangkatan ayahanda Baginda, Sultan Badlishah ibni Almarhum Sultan Abdul Hamid Halim Shah.

Tuanku Abdul Halim kemudiannya ditabalkan sebagai Sultan Kedah pada 20 Februari 1959.

Baginda menerima pendidikan awal di Sekolah Melayu Titi Gajah dan meneruskan pelajaran di Kolej Sultan Abdul Hamid di Alor Setar.

Pada 1952, ketika Baginda masih bergelar Raja Muda Kedah, Tuanku Abdul Halim melanjutkan pengajian di Kolej Wadham, Oxford di London dalam bidang sains sosial dan pentadbiran awam.

Tuanku Abdul Halim mengahwini Tuanku Hajah Bahiyah Tuanku Abdul Rahman pada 10 Mac 1956 dan mereka dikurniakan tiga puteri, Tunku Soraya, Tunku Salina dan Tunku Puteri Intan Safinaz. Tunku Salina telah meninggal dunia.

Sultanah Bahiyah mangkat pada 2003. Tuanku Abdul Halim mengahwini Che Puan Hajah Haminah Hamidun pada 25 Disember 1975 dan diumumkan sebagai Sultanah Kedah yang baharu pada 9 Januari 2004 dengan gelaran Tuanku Sultanah Hajah Haminah.

 

 

Leave a Reply

Your email address will not be published.