[VIDEO] Bantu Pelajar Kurang Bernasib Baik Menerusi ‘Budi Ride’

[VIDEO] Bantu Pelajar Kurang Bernasib Baik Menerusi ‘Budi Ride’

KUALA LUMPUR – Persatuan Alumni Universiti Teknologi MARA (UiTM) menerusi Tabung Pendidikan 1 Billion (TP1B) akan menganjurkan kayuhan amal, ‘Budi Ride’ melibatkan 10 peringkat di seluruh negara yang akan bermula di UiTM Kota Kinabalu pada 2 Dis, bagi membantu pelajar kurang bernasib baik.

Acara kayuhan berbasikal itu dibahagikan kepada tiga kategori – Individu 80km, Individu 30km dan Berkumpulan 80km.
Program berbasikal berkenaan akan diteruskan di seluruh Semenanjung Malaysia, dengan berhenti singgah di kampus-kampus UiTM dan peringkat akhir akan diadakan di UiTM Kota Samarahan, Sarawak.

Pengerusi Budi Ride, Datuk Ahiruddin Atan atau lebih dikenali dengan panggilan Rocky Bru, berkata acara kayuhan berbasikal itu bertujuan meningkatkan kesedaran orang ramai mengenai TP1B yang dilancarkan pada April 2015, dan juga bagi membantu golongan muda Malaysia melanjutkan pengajian dalam bidang pilihan masing-masing.

“Budi Ride dijadual melalui kesemua 30 kampus di seluruh negara, sebagai sebahagian program untuk mengetahui lebih lanjut mengenai UiTM, dalam tempoh empat bulan, dengan tarikh akan ditentukan kemudian,” katanya kepada Bernama, hari ini.

Jumlah keseluruhan jarak acara kayuhan Budi Ride adalah kira-kira 2,218km.

“Kita masih menerima penyertaan dan menjangkakan sekurang-kurangnya 150 peserta akan menyertai pusingan pertama program berkenaan. Sehingga kini, kita masih menerima pendaftaran daripada peserta,” katanya.

Bagi mereka yang tidak mempunyai basikal, beliau mencadangkan peserta berkenaan merujuk kepada iSportsAsia untuk menyewanya bagi mengambil bahagian dalam acara kayuhan amal itu.

“Kami juga memohon agar lebih banyak penaja tampil membantu kami bagi menjadikan acara berkenaan berjaya, dan bersama-sama membantu pelajar yang kurang bernasib baik,” katanya.

Untuk mendapatkan maklumat lanjut mengenai acara itu, Ahiruddin berkata Persatuan Alumni UiTM menerusi TP1B, berharap untuk membalas budi kepada negara tanpa mengira kaum dan agama supaya setiap kanak-kanak di Malaysia tidak akan dinafikan peluang mereka.

TP1B dilancarkan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak pada 11 April 2015, untuk memberi bantuan pendidikan kepada murid atau pelajar daripada keluarga berpendapatan rendah, sehingga mereka melanjutkan pengajian ke universiti.

Mereka yang berminat menyertai acara kayuan itu boleh melayari laman web, http://www.isportsasia.com atau laman Facebook Budi Ride.

– BERNAMA

 

http://www.mynewshub.cc/terkini/bantu-pelajar-kurang-bernasib-baik-menerusi-budi-ride/

Leave a Reply

Your email address will not be published.