Pengerusi Lembaga Pemegang Amanah Yayasan TP1B, Tan Sri Lodin Wok Kamaruddin berkata, daripada jumlah itu, sebanyak RM1 juta telah dibelanjakan bagi membantu anak-anak alumni UiTM menyambung pelajaran serta alumninya sendiri yang kurang bernasib baik manakala RM200,000 lagi diserahkan untuk penganjuran program-program UiTM.

 “Jumlah kutipan itu diperoleh hasil projek makan malam yang kami anjurkan sebelum ini iaitu kira-kira RM10 juta manakala selebihnya sumbangan agensi dan alumni kami.

“Sumbangan yang diterima yayasan juga ada yang tidak berbentuk tunai tetapi melalui penyediaan peluang belajar kepada anak-anak alumni seperti yang disediakan oleh Epsom College,” katanya dalam sidang akhbar selepas program Kayuhan Budi TP1B di UiTM Kampus Kota Kinabalu di sini hari ini.

Program yang disertai 120 pe­ngayuh basikal bagi kategori jarak 35 kilometer dan 85 kilometer itu dirasmikan Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar negeri merangkap Ahli Lembaga Peme­gang Amanah Yayasan TP1B, Datuk Seri Masidi Manjun.

Yang turut hadir, Timbalan Naib Canselor UiTM, Prof. Dr. Zaini Abdullah; Rektor UiTM kampus Kota Kinabalu, Prof. Madya Datuk Dr. Abdul Kadir Rosline dan Presiden PAUiTM, Datuk Zaini Hassan.

Program kayuhan budi yang bermula di negeri ini merupakan projek terbaharu TP1B bagi mengumpul dana dan selepas ini lokasinya adalah di Johor disusuli semua negeri di Semenanjung sebelum berakhir di Sarawak.

Sempena program itu juga, TP1B turut menyampaikan sumbangan kepada 100 pelajar kurang berkemampuan di negeri ini yang me­nuntut di UiTM serta membantu sebuah keluarga daripada alumni­nya di Ranau yang kehilangan rumah akibat kebakaran baru-baru ini.

Sementara itu, dalam sidang akhbar itu, Masidi menyeru semua alumni UiTM yang telah berjaya agar menyumbang semampu mungkin kepada Yayasan TP1B demi memastikan objektif penubuhannya tercapai.

“Apa yang penting adalah bukan berapa jumlah yang mampu kita sumbangkan tetapi niat kita dan bagaimana sumbangan itu disalurkan.

“Kalau kita sudah berjaya marilah kita bersama-sama membantu anak bangsa kita pula untuk berjaya supaya kejayaan itu dapat dikongsi bersama,” katanya.