MRSM Pendang Raih Emas Di International Robotic Olympiad 2017

MRSM Pendang Raih Emas Di International Robotic Olympiad 2017
Kumpulan Robotik Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) (dari kiri) Yoel Shalom Anak Anding, Nur Afiqahbatrisyia Ros Hisham, Safurah Mohd Nazri, Batrisyia Mohd Razalee, Intan Farhanah Rosman dan Khairul Zakwan Ahmad selamat tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur 2 (KLIA2) hari ini, selepas menyertai International Robotik Olympiad (IRO) 2017 di Qinhuangdao, China pada 16 hingga 20 Disember lalu. Kumpulan Robotik MRSM itu berjaya membawa pulang dua pingat emas, dua pingat perak dan dua pingat gangsa. –fotoBERNAMA

 

SEPANG, 21 Dis — R-otector, robot yang mampu mengesan radioaktif hasil kreativiti dan inovasi dua pelajar Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) Pendang, Kedah merangkul pingat emas bagi kategori kreatif (terbuka) di 19th International Robotic Olympiad 2017 di Qinhuangdao, China baru-baru ini.

Pasukan tersebut menumpaskan wakil dari 10 negara lain termasuk Amerika Syarikat, Singapura, New Zealand, Australia dan pasukan tuan rumah, China dalam pertandingan sejak 16 hingga 20 Dis lepas itu yang bertemakan ‘Penakrifan semula keselamatan awam dan robot keselamatan’.

Pelajar MRSM Pendang, Batrisyia Mohd Razalee, 14, berkata alat penggera R-otector ciptaan pasukannya itu akan berbunyi sebaik mengesan sebarang bahan radioaktif atau berbahaya sebelum menyedut bahan tersebut menggunakan tangan robotik serta menyimpannya di dalam ruangan khas padanya, untuk dilupuskan.

“R-otector sangat sesuai digunakan di tempat awam seperti lapangan terbang dan stesen kereta api bagi tujuan meningkatkan tahap keselamatan premis tersebut,” katanya ketika ditemui di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur 2 (klia2).

Batrisyia tiba hari ini bersama rakan sepasukannya, Safurah Mohd Hazri, 14, dan empat lagi pelajar MRSM iaitu masing-masing dua dari MRSM Kuching dan MRSM Bentong.

Pasukan pelajar MRSM Kuching berjaya memenangi pingat perak menerusi ciptaan mereka bagi kategori ‘Robot in Movie’ manakala pasukan MRSM Bentong pula meraih pingat gangsa dalam kategori kreatif.

Ketua Kontinjen Malaysia Juriah Alias berkata kesemua enam pelajar MRSM yang mewakili Malaysia pada pertandingan itu merupakan juara daripada pelbagai kategori dalam pertandingan Robofair 2017 yang disertai 53 MRSM di seluruh negara, pada Julai lepas.

 

— BERNAMA

Leave a Reply

Your email address will not be published.