Sokongan Malaysia Tingkatkan Semangat Palestin Pertahan Baitulmaqdis

Sokongan Malaysia Tingkatkan Semangat Palestin Pertahan Baitulmaqdis
Duta Palestin ke Malaysia Datuk Dr Anwar H. Al Agha (kanan) ketika menjadi panel forum sempena Himpunan Solidariti Perdana: Intifada Selamatkan Baitulmuqaddis di Bangunan Perdana Putra hari ini. Turut sama Pengerusi Majlis Dakwah Negara (MDN) Prof Datuk Dr Mahmood Zuhdi Abd Majid selaku moderator. –fotoBERNAMA

 

PUTRAJAYA, 22 Dis —  Palestin tidak akan sekali-kali berputus asa daripada mempertahankan Baitulmuqaddis sebagai ibu kotanya, lebih-lebih lagi dengan adanya sokongan padu rakyat Malaysia seperti yang ditunjukkan pada Himpunan Putih Selamatkan Baitulmuqaddis di Masjid Putra di sini, hari ini.

Duta  Besar Palestin di Malaysia Datuk Dr Anwar Al Agha memberitahu Forum Khas Solidariti Selamatkan Baitulmuqaddis bahawa sokongan rakyat Malaysia pimpinan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak akan memberi semangat kepada rakyat Palestin mempertahankan kota suci itu daripada sebarang ancaman.

Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak (tengah) bersama Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi (tiga, kiri) bersama barisan NGO mengangkat tangan menandakan sokongan solidariti ketika hadir pada Himpunan Putih Solidariti Selamatkan Baitulmaqdis di Masjid Putrajaya hari ini. Turut hadir Mufti Wilayah Persekutuan, Datuk Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri (dua, kanan) dan Duta Palestin ke Malaysia Datuk Dr Anwar H. Al Agha (tiga, kanan).

“Hari ini amat besar ertinya bagi Malaysia dan Palestin. Satu Malaysia Satu Palestin. “Saya berharap, sutu hari nanti, rakyat Malaysia dapat  pergi dan menunaikan solat di sana (Baitulmuqaddis) tanpa gangguan Israel,” katanya pada forum itu yang menjadi pembuka tirai himpunan itu.

Seorang lagi anggota panel pada forum itu, Yang Dipertua Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (YADIM) Dr Yusri Mohamad berkata perbuatan Amerika Syarikat menyokong tindakan kejam Israel menjadi bukti keangkuhan kuasa besar itu.

“Kita sedang saksikan ayat angkuh Amerika Syarikat terhadap negara-negara yang menyokong Palestin dan memberi amaran kepada mereka. Amerika Syarikat memperlakukan negara-negara berdaulat seperti budak-budak di pentas Pertubuhan Bangsa Bersatu (PBB).

“Keangkuhan sama ini telah berlangsung 70 tahun yang disaksikan dunia dan tidak dapat diterima mana-mana pertubuhan termasuk pertubuhan bukan kerajaan dan parti politik yag bermaruah,” katanya.

Datuk Saifuddin Nasution yang juga anggota panel pada forum itu mengusulkan supaya Malaysia  menjadi pusat penyelaras diaspora bagi rakyat Palestin.

“Ini akan dapat membantu rakyat Palestin merangka kesejahteraan negara itu untuk masa hadapan, termasuk membawa mereka yang bijak daripada kalangan rakyat Palestin untuk berkhidmat di negara ini,” katanya.

Beliau berkata perkara itu adalah antara usaha yang boleh dilakukan bagi membela nasib rakyat Palestin, selain tindakan NGO yang menunjukkan protes terhadap kekejaman Yahudi  dan perbincangan oleh pihak kerajaan melalui saluran diplomasi.

Seorang lagi anggota panel Dr Muhammad Faiz Na’aman berkata terdapat tiga kumpulan solidariti dalam isu berkenaan, yang jika digabungkan, akan dapat menyampaikan mesej jelas kepada dunia bahawa masyarakat antarabangsa menentang keras resolusi Amerika Syarikat itu.

Beliau berkata kumpulan berkenaan adalah solidariti sesama umat Islam, solidariti bersama agama lain dan solidariti berasaskan kemanusiaan.

Menurutnya umat Islam perlu mengetepikan  semua perbezaan dan bersatu serta memberi fokus terhadap usaha mempertahankan Baitulmuqaddis yang merupakan kota suci ketiga umat Islam.

“Amat memalukan dan menyedihkan kerana apabila persaudaraan sesama umat Islam tidak kuat, musuh Islam mudah mengambil hak kita,” katanya.

Muhammad Faiz berkata pemimpin agama lain di seluruh dunia juga telah menyatakan solidariti mereka bersama Palestin, selain solidariti berasaskan kemanusiaan bagi menentang penindasan rejim Zionis yang diadakan di seluruh dunia.

 

— BERNAMA 

Leave a Reply

Your email address will not be published.