Siswazah Jangan Takut Menentang Arus – Pro-Canselor UITM

Siswazah Jangan Takut Menentang Arus – Pro-Canselor UITM

KUALA LUMPUR, 24 Jan — Siswazah  bumiputera perlu berani menentang arus dengan melakukan pekerjaan di luar bidang dipelajari demi mengumpul pengalaman  kerja.

Pro–Canselor Universiti Teknologi Mara (UiTM) Tan Sri Arshad Ayub berkata mereka juga digalakkan menceburi bidang keusahawanan dan tidak peleceh bidang berkenaan.

“Memang graduan akan memilih kerja mengikut bidang (yang dipelajari), kadang-kadang setahun, dua atau tiga tahun belum dapat pekerjaan sesuai. Namun jangan takut untuk mencari pengalaman dalam bidang berlainan misalnya perniagaan. Jangan harap makan gaji.

“Jual  nasi lemak sekalipun tidak mudah, pelbagai perkara harus difikirkan. Siapa yang nak pergi pasar, siapa nak masak, siapa  nak cari pelanggan? Ia bukan mudah,” katanya kepada pemberita selepas menjadi tetamu rancangan terbitan Bernama News Channel di sini hari ini.

Menurutnya sikap sesetengah siswazah  yang mempunyai jangkaan terlalu tinggi terhadap kerjaya yang mahu diceburi tanpa memikirkan realiti sebenar pekerjaan juga menjadi punca mereka masih menganggur.

Katanya  ada lepasan Diploma Pengurusan Perladangan menolak pekerjaan di ladang kerana menyangka mereka akan bekerja di dalam pejabat berhawa  dingin sedangkan ia memerlukan mereka memantau ladang.

Bagaimanapun beliau berkata majikan perlu memberi peluang kepada siswazah  untuk mereka menyesuaikan diri dengan pekerjaan termasuk memberi tunjuk ajar.

Majikan, katanya  tidak boleh mengharapkan siswazah tahu segalanya dan mahir melakukan kerja mereka dalam masa yang singkat.

Dalam pada itu, beliau berkata Arshad Ayub Graduate Business School (AAGBS), UiTM akan mengadakan ‘Royal Gala Dinner’ pada 9 Feb ini bertujuan mengumpul dana untuk menyokong pelbagai aktiviti AAGBS termasuk pemberian biasiswa serta membiayai penyelidikan dan penerbitan.

Ia dijadualkan diadakan di The Majestic Hotel di ibu negara.

— BERNAMA 

Leave a Reply

Your email address will not be published.