Wan Nur Mafudah Anak Melayu Pertama Gondol Tempat Pertama ACCA  

Wan Nur Mafudah Anak Melayu Pertama Gondol Tempat Pertama ACCA  
 Anggota Parlimen Besut yang juga Menteri Pendidikan Tinggi Datuk Seri Idris Jusoh (kanan) ketika berbual dengan graduan pemenang Tempat Pertama Peringkat Dunia Bidang F7 Laporan Kewangan oleh Assiosiation of Charted Certified Accountants (ACCA) 2018 Wan Nur Mafudah Wan Yusof, 21, (kiri) ketika berkunjung ke rumahnya di Kampung Tok Raja Jertih. 

 

BESUT, 18 Feb — Meskipun dinasihatkan keluarganya agar melupakan hasrat mendalami bidang perakaunan,  Wan Nur Mafudah Wan Yusof, 21, berjaya membuktikan minatnya dalam bidang itu mampu membawa  kejayaan kepadanya.

Anak jati Kampung Tok Raja, Jertih yang memiliki kelulusan daripada  Kolej Intec, Kuala Lumpur itu   mendapat tempat pertama dalam World Prize Winner bagi kertas Laporan Kewangan Korporat Persatuan Akauntan Bertauliah Berkanun (ACCA) yang diumumkan baru-baru ini.

Kejayaan itu menobatkan beliau anak Melayu  pertama yang berjaya mendapat tempat teratas di peringkat dunia dengan memperoleh markah tertinggi iaitu 95 peratus.

Sebelum ini,  kejayaan tertinggi yang pernah dicapai oleh beberapa anak Melayu  ialah tempat kedua, ketiga dan keenam bagi tempoh  2015 hingga tahun lepas.

Ketika ditemui Bernama di rumah keluarganya di Kampung Tok Raja  hari ini,  anak ketiga daripada tujuh beradik itu melahirkan rasa syukur kerana bukan sahaja dapat membuktikan anak Melayu boleh menguasai bidang tersebut malah kepada keluarganya yang sebelum ini  tidak yakin dengan  kemampuannya.

Katanya minat dalam bidang itu dipupuk di sekolah menerusi subjek kegemarannya iaitu perakaunan, ekonomi dan matematik di samping ingin menyahut cabaran kerajaan yang mahu lebih ramai anak Melayu menceburi bidang tersebut kerana bilangan mereka masih kurang.

“Setelah tamat belajar peringkat Sijil Pelajaran Malaysia dengan  keputusan 8A1B di MRSM Besut , saya memasuki Kolej Poly-Tech Mara Kuala Lumpur bagi mengikuti asas bidang perakaunan selama setahun setengah ,” katanya.

Menurutnya, minat dalam bidang itu bertambah semasa di kolej itu dan berjaya memperoleh biasiswa Permodalan Nasional Berhad (PNB)  untuk menyambung pengajian di Kolej Intec.

“Di sinilah  saya banyak belajar tentang bidang perakaunan dengan sentiasa mengikuti perkembangan semasa dalam bidang tersebut dari semasa ke semasa sebelum terpilih untuk menyertai F7 Financial Reporting ACCA bagi graduan dari seluruh dunia,” katanya.

Ditanya  tentang rahsia kejayaannya, Wan Nur Mafudah memberitahu  beliau belajar dengan mengajar balik apa yang diketahui dan difahaminya kepada orang lain.

Beliau yang bercita-cita menjadi pensyarah bidang perakaunan mencadangkan agar subjek perakaunan, perdagangan dan ekonomi serta bahasa  Inggeris ditekankan secara serius kepada pelajar di peringkat awal menengah kerana ia asas seseorang untuk menguasai pengajian perakaunan.

“Selain itu pelajar perlu juga diberikan asas dalam mata pelajaran teknologi maklumat  dan matematik di samping  perlu menguasai sekurang-kurang tiga bahasa selain bahasa Inggeris yang begitu penting untuk berkomunikasi sekiranya menceburi bidang perakaunan,” katanya.

— BERNAMA

Leave a Reply

Your email address will not be published.