[VIDEO] Laungkan lagu Barisan Mara — Maracong Kembali!

Institut Teknologi Mara (ITM) sangat berjasa kepada bumiputera. Institut yang dilahirkan atas dukungan perjuangan siasah UMNO ini telah menjadi organisasi penting dalam usaha memperbesarkan bilangan bumiputera profesional dan kelas menengah menerusi pendidikan.

Di peringkat awal penubuhan rasminya pada 14 Februari 1957, ITM bukannya ITM. Ia dikenali sebagai Pusat Latihan RIDA dan Pusat Asuhan RIDA. Pada Jun 1965, ia dikenali sebagai Maktab Mara. Dan pada 1967 barulah Maktab Mara ditukar nama menjadi ITM.

Tetapi, biar nama apa sekalipun yang diberikan, institusi pengajian tinggi awam ini tetap memperjuangkan nasib generasi muda desa – anak-anak petani, pesawah, penoreh getah, nelayan, buruh kasar, penarik beca dan guru – yang berpendidikan menengah Inggeris. Mereka dilatih dan dididik menjadi profesional dan teknokrat. Mereka dilatih dan dididik menjadi ejen perubahan. Mereka dibimbing menjadi jentera penggerak pembangunan tanah air tercinta.

Graduan ITM kini berada di mana-mana. Baik di sektor awam mahupun di sektor swasta. Ada graduan ITM yang cergas di arena siasah. Ada yang menempa nama di alam korporat. ITM telah membebaskan anak-anak desa ini daripada lingkaran kemiskinan. ITM telah memungkinkan mereka menyumbang bakti ke arah pembinaan bangsa yang lebih cemerlang pada hari muka.

Sebab itulah terdapat anak-anak kampung yang kini terkenal menyerlahkan diri dalam pelbagai bidang.

Nama-nama mereka digandingkan oleh ratusan lagi profesional, teknokrat dan usahawan yang berjaya. Pendek kata, lepasan ITM ada yang jadi peguam, jurutera, arkitek, juruukur bahan, pakar perbankan, CEO syarikat kewangan, insurans dan syarikat-syarikat GLC, wartawan, pensyarah dan pegawai kerajaan.

Graduan-graduan ini gelar diri mereka Maracong. Sama seperti Vietcong. Ada juga segolongan yang mencipta nama di dalam Perkhidmatan Awam. Majoriti mereka di Jabatan Sumber Manusia, Jabatan Kastam, Jabatan Imigresen, Jabatan Pendaftaran Negara, Jabatan Perangkaan, Perpustakaan Negara, Mara dan UDA.

Begitulah antara barisan Maracong yang terbilang. Puluhan ribu lagi pun sama cemerlangnya. Tetapi, senarainya amat panjang untuk didedikasikan dalam coretan singkat ini. Biar pun  begitu, kesemuanya sama sahaja. Mereka kena ‘naik haji’ menerusi ritual mencium @#*x kerbau (arca konkrit) berhampiran pintu keluar-masuk di Kampus Jalan Othman, Petaling Jaya, sewaktu ragging dijalankan.

Keseluruhan graduan ITM juga tidak berbeza antara satu sama lain kerana latar belakang mereka kampung dan kemiskinan. Majoriti kumpulan perintis ITM dibesarkan oleh ITM dengan memakan nasi kawah, sandwic, ayam pencen dan ikan plastik. Mereka tidak pernah mengeluh. Malahan mereka sentiasa bersyukur. Mereka pernah menghuni asrama-asrama ITM di Petaling Garden, Petaling Tin, Jalan Othman, Jalan Selangor serta  PKNS Flat dan Happy Mansion di Seksyen 17, Petaling Jaya.

Golongan perintis di kampus induk Shah Alam, terpaksa menimba ilmu dalam lingkungan suasana terasing dan kekurangan. Mereka berkuliah di bawah asrama. Perpustakaan mereka di bawah dewan makan. Mereka seolah-olah berada di dalam suatu concentration camp.

Nasib baik ada “Roman Steps” tempat mereka lepak-lepak. Nasib baik di setiap hujung minggu ada aktiviti pelajar. Nasib baik setiap dua minggu sekali ada tayangan gambar. Maka bersorak-sorailah mereka menonton filem Django, The Good, The Bad and The Ugly dan lain-lain yang popular ketika itu. Apabila terjadi sahaja kerosakan teknikal yang mengganggu tayangan, maka Setiausaha Hiburan Kesatuan Pelajar ITM (KPITM) yang bernama Sabtu pun dimaki hamun panjang berjela. Kadang-kadang, apabila terputus bekalan elektrik pula, maka kedengaran jeritan “Tina mana karan!!!” (Tina nama singkatan Tinakaran, seorang pensyarah bahasa Inggeris.)

Kini ITM yang menjadi UITM bukan sahaja mempunyai kampus induk di Shah Alam, Selangor. Ia juga mempunyai kampus-kampus cawangan di setiap negeri di Malaysia. Pelajar sepenuh masanya berpuluh ribu orang. Pelajar off-campus dan program jarak jauh juga beribu. Jumlah ini amat besar berbanding di peringkat awal penubuhan ITM. Namun demikian, inilah lumrah alam.

Tetapi, seramai mana sekali pun jumlah pelajar UITM, seluruh Maracong mempunyai keistimewaannya tersendiri. Mereka sentiasa ingat kepada asal-usul bangsanya. Mereka sentiasa ingat kepada susur-galur sejarah ITM yang memanusiakan mereka. Mereka dididik untuk jadi cerdik, jadi pandai, cekal dan dinamis.

Maracong juga dididik menjadi kelompok manusia yang kreatif, mempunyai daya tahan, daya saing, ikhlas, jujur, berbudi bahasa dan berakhlak mulia. Mereka dipungut dari segenap ceruk, kampung dan desa untuk dibesarkan dan dimanusiakan dalam suasana yang rugged. Mereka sentiasa ditanamkan semangat nasionalisme yang unggul dan jiwa patriotisme yang abadi. Sebab itulah national anthem mereka lagu Barisan Kita yang sebahagian seni katanya menyatakan bahawa “sebelum kami berjaya, jangan harap kami pulang; inilah sumpah pelajar Mara, untuk ibu pertiwi.”

Dalam erti kata lain, graduan ITM memang sentiasa diingatkan supaya jangan menjadi kacang yang lupakan kulit dan jangan pula terperangkap dalam sindrom melupakan sejarah. Mereka sentiasa dituntut menyumbang bakti kepada survival bangsa dalam konteks yang seluas-luasnya. Mereka dibekalkan sensitiviti terhadap perpaduan bangsa dan ketahanan negara. Mereka mempunyai perspektif sejarah kebangkitan bangsa yang tepat supaya sebarang kemungkinan yang merosakkan kedaulatan negara dibanteras habis-habisan.

Leave a Reply

Your email address will not be published.