Dengan hormat ; Hindraf harus waspada , UiTM harus kembali kepada akar

Dengan hormat ; Hindraf harus waspada , UiTM harus kembali kepada akar

“Untuk membina ketahanan dan kecergasan diri, seseorang itu tidak perlu melakukan ‘senaman’ dengan kaum lain kerana yang penting ialah kekuatan minda dan keazaman individu itu sendiri.” – Prof. Diraja Ungku Aziz.

Pernah beberapa kali suasana negara gamat dengan isu pembukaan gerbang UiTM kepada bukan Bumiputera.

Terbaharu apabila golongan yang menggelar diri mereka Hindraf 2.0 telah secara terbuka mencadangkan supaya universiti awam termasuk UiTM dipertimbangkan untuk dibuka kepada bukan Bumiputera.

Asasnya, isu ini merupakan suatu yang agak rumit untuk dikupas memandangkan ia melibatkan aspek sejarah, politik, undang-undang dan kebudayaan. Saya percaya bahawa ia seharusnya dibincangkan secara panjang lebar dalam program berbentuk forum.

Namun begitu, tanpa bersikap apologetik saya dengan rendah diri percaya bahawa isu yang dikira sensitif (oleh kebanyakan orang) ini tidak sepatutnya dibangkitkan pada ketika ini memandangkan status UiTM sebagai universiti yang memberi pendidikan eksklusif kepada orang-orang Melayu dan Bumiputera adalah suatu yang bertepatan dengan semangat penubuhan UiTM yang berpaksikan kepada semangat Perlembagaan Persekutuan.

Hal ini dapat dilihat dengan jelas di dalam Seksyen 1A Akta Universiti Teknologi Mara 1976 (Akta 173) yang secara jelas menyebut bahawa penubuhan UiTM adalah selaras dengan peruntukan Perkara 153 Perlembagaan Persekutuan.

Malah, kewujudan UiTM ini yang telah membentuk keunikan nilai tradisi di dalam sistem yang telah kita amalkan selama ini.

SEJARAH RINGKAS UiTM

Idea penubuhan UiTM mula timbul ketika Tun Abdul Razak dan Dato’ Onn Jaafar mengadakan suatu lawatan sambil belajar ke Sri Lanka untuk meneliti dan mengkaji program luar bandar sekitar tahun 1950.

Hasil daripada lawatan tersebut, satu kertas laporan kepada Federal Legislative Council yang dinamakan Paper No.10/1951 telah dikemukakan.

Kertas tersebut tunjang asas dan tiang seri kepada pembentukan Rural and Industrial Development Authority atau lebih dikenali dengan nama RIDA. RIDA ditubuhkan pada bulan Ogos 1951 dengan tujuan antara lainnya, untuk mempertingkatkan status sosioekonomi dan kesejahteraan umum orang Melayu.

Pusat Latehan Rida dengan slogan ‘rebut ilmu dan amal’ telah diwujudkan di Jalan Othman, Petaling Jaya untuk menjadi pusat kepada perkembangan ilmu.

Institusi ini telah ditubuhkan secara rasmi pada November 1956 dengan menawarkan kursus persediaan bagi golongan belia luar bandar. Jumlah pelajar ketika itu hanya seramai 25 orang dan ia telah berkembang secara berperingkat melalui pengetua-pengetua Dewan Latehan Rida.

Dalam tahun 1964, majlis konvo pertama telah diadakan dan disampaikan oleh Tun Abdul Razak yang mana 50 graduan telah berjaya menamatkan pengajian.

Selanjutnya, melalui Kongres Ekonomi Bumiputera, Dewan Latehan Rida bertukar kepada Maktab Mara dan pengambilan pelajar-pelajar dari luar Semenanjung iaitu Sabah dan Sarawak dimulakan.

Seterusnya, dalam tahun 1967, Maktab Mara telah ditukar dan diperbaharui menjadi Institut Teknologi Mara (ITM) dengan menggunakan slogan ‘Usaha Jaya Mara’.

Pada ketika itu, jurusan kejuruteraan dan undang-undang termasuk jurusan-jurusan lain telah diperkenalkan bagi memenuhi keperluan serta matlamat penubuhan ITM. Cawangan ITM telah ditambah dan pada tahun 1999 dan melalui Tun Dr. Mahathir, ITM telah dinaik taraf kepada universiti seterusnya digelar sebagai Universiti Teknologi Mara (UiTM).

KUOTA UNTUK SEMUA : BUKAN ISU BARU

Idea dan cadangan supaya gerbang UiTM dibuka kepada semua warganegara bukanlah suatu isu yang baru.

Ketika Rang Undang-Undang Institut Teknologi Mara (ITM) dibentangkan di Parlimen oleh Timbalan Perdana Menteri yang juga Menteri Pelajaran, Tun Dr. Mahathir Mohamad pada 13 April 1976, seramai 10 ahli Parlimen mengambil bahagian dalam perbahasan tersebut termasuk lapan dari Semenanjung dan dua dari Sarawak.

Pada ketika itu, tiga daripada pembahas usul, Ahli Parlimen Kepong, Dr. Tan Chee Khoon, Ahli Parlimen Kota Melaka, Lim Kit Siang dan Ahli Parlimen Padang Serai, Lim Kiam Hoon telah berhujah bahawa ITM seharusnya dibuka kepada seluruh warganegara dengan alasan dan fikiran bahawa ia penting untuk perpaduan kaum di negara ini.

Walau bagaimanapun, cadangan tersebut telah dibidas secara tegas oleh ahli Parlimen Balik Pulau, Yang Berhormat Shamsuri Md. Salleh dengan hujah:

“Tuan Yang di Pertua, peruntukan yang diberi kepada Institut Teknologi MARA oleh Kerajaan itu kalau dinilai dengan emas, maka emas itu hanya sesaga, kalau dinilai dengan tanah, maka tanah itu tidak lebih hanya sebesar kelangkang kera. Emas sesaga, tanah yang sebesar kelangkang kera itulah yang diungkit-ungkit, disebut-sebut, ditagih oleh pihak Pembangkang untuk dikongsi dengan orang-orang bukan bumiputera, atas alasan hendak mewujudkan perpaduan negara, hendak membasmi kemiskinan, dengan tidak kira kaum.”

Demikian, Tun Dr. Mahathir semasa menggulung perbahasan telah menolak cadangan untuk membuka pintu ITM kepada semua warganegara dengan hujah bahawa perpaduan tidak wajar hanya didesak untuk dilaksanakan di ITM, sedangkan ahli-ahli Yang Berhormat dari Kepong dan Kota Melaka sering kali menuntut diperbanyakkan lagi penubuhan sekolah-sekolah aliran Mandarin dan Tamil.

Tun Dr. Mahathir secara tegas menyeru agar mereka yang bersungguh mahu merealisasikan agenda perpaduan nasional untuk membuktikannya dengan menghantar anak-anak ke Sekolah Kebangsaan.

KAJIAN SEMULA

Kajian secara menyeluruh harus dibuat sebelum pertimbangan dibuat dalam tuntutan ini.

Tuntutan Hindraf 2.0 ini bukan sahaja terburu-buru malah mampu juga menimbulkan keresahan dan ketidakstabilan negara. Justeru, Hindraf 2.0 harus lebih berwaspada dalam memberi kenyataan.

Namun, saya tidak menolak bahawa tuntutan kaum lain wajar dibincangkan dan dipertimbangkan menurut keperluan semasa. Dalam keadaan sebegini, adalah wajar isu-isu golongan miskin India seperti yang dinyatakan oleh Hindraf 2.0 dikaji semula.

Selain itu, UiTM juga hendaklah menjalankan kajian semula tentang kaedah dan kelayakan pengambilan mahasiswa di UiTM supaya ia selaras dengan matlamat asal bagi mencerminkan semangat yang sedia ada seperti yang pernah dinukilkan di dalam Seksyen 5 Paper No. 10/1951 yang menetapkan objektif penubuhan RIDA yang bertujuan memberi bantuan kepada golongan yang memerlukan.

Kita tidak mahu wujud senario yang tidak adil serta tidak menepati objektif apabila UiTM dipenuhi oleh golongan mahasiswa yang jalan berkepak dan gah dengan kereta mewah pemberian papa dan mama.

Di samping melindungi keunikan dan status sedia ada untuk membantu golongan Bumiputera berdasarkan keistimewaan yang sedia ada, UiTM juga harus kembali kepada akar!

“An economically depressed Malay community in a prosperous Malaya will not mean a peaceful Malaya”.
– Tan Siew Sin

 

* KHAIRUL NAIM RAFIDI ialah PEGUAM MUDA YANG MENGAMAL UNDANG-UNDANG DI SEBUAH FIRMA GUAMAN DI SELANGOR DAN ALUMNI UiTM

 

http://www.themalaysiantimes.com.my/dengan-hormat-hindraf-harus-waspada-uitm-harus-kembali-kepada-akar/

Leave a Reply

Your email address will not be published.