Kenyataan Persatuan Alumni UiTM Malaysia (PAUiTM) berikutan Pelantikan Tan Sri Richard Malanjum Sebagai Ketua Hakim Negara

Kenyataan Persatuan Alumni UiTM Malaysia (PAUiTM) berikutan Pelantikan Tan Sri Richard Malanjum Sebagai Ketua Hakim Negara
Ketua Hakim Negara, Tan Sri Richard Malanjum bersama Presiden Mahkamah Rayuan, Tan Sri Ahmad Maarop dan Hakim Besar Sabah dan Sarawak, Datuk David Wong Dak Wah (kanan) pada majlis angkat sumpah di Istana Kehakiman Khamis lepas.

 

Persatuan Alumni UiTM Malaysia (PAUITM) menyambut baik dan melahirkan rasa bangga atas pelantikan alumni Fakulti Undang-Undang (FUU) universiti ini, Tan Sri Richard Malanjum ke jawatan Ketua Hakim Negara.

Ia dilihat sekali gus melonjakkan lagi nama, prestasi serta kewibawaan produk institusi pengajian tinggi Bumiputra itu.

Presiden PAUiTM Dato’ Mohd. Zaini Hassan berharap Richard dapat menjalankan tanggungjawabnya sebaik mungkin mengikut lunas-lunas Perlembagaan Persekutuan.

Kami berharap rakyat dapat menyokong pelantikan anak Sabah itu dan memberi peluang kepada beliau menjalankan tugasnya demi negara tercinta ini.

Richard mengikuti Program Luaran Sarjana Muda Undang-Undang (London) di Institut Teknologi MARA (ITM) pada 1972-1975.

Pada Majlis Malam Tautan Kasih Alumni FUU UiTM 2015, Richard telah dinobatkan selaku The Most Outstanding Lawfac Icon oleh fakulti itu.

Antara tokoh-tokoh terkemuka guaman yang dilahirkan oleh UiTM antaranya adalah Dato’ Zaid Ibrahim, Datuk Sri Azlina Othman Said (Diploma Pentadbiran Awam di bawah FUU), YB Baru Bian (Menteri Kerjaraya), Yang Ariff Dato’ Ahmad Sharir Mohd Salleh (Judicial Commissioner),
Yang Ariff, Dato Mohd Shariff Abu Samah (Judicial Commissioner), Tan Sri Khamil Jamil (Bekas Pengerusi DRB Hicom), Lt Jen Dato’ Azizan Mohd Delin (Asisten Ketua Staf Perkhidmatan Anggota ATM), Laksamana Dato Sri Zulkifli Abu Bakar (Ketua Pengarah Agensi Penguatkuasa Maritim Malaysia).

Alumni lain yang berjaya ialah ahli politik Dato’ Rosni Zahari dan Dato’ Rohana Abd Malik (Penasihat Undang-Undang Negeri Perak), penyanyi terkenal antarabangsa Yuna, artis Ahmad Fahrin dan Anahita Baqavoli. Tan Sri Gani Patail, bekas Peguam Negara pula menduduki program Pra-Universiti Tingkatan Enam di ITM.

Sementara itu, Dekan FUU UiTM, Prof Dato’ Dr. Rahmat Mohamad menyifatkan Tan Sri Richard Malanjum seorang alumni yang sangat rapat dengan fakulti itu.

Sebagai seorang hakim kanan di negara ini Richard dilihat sebagai mentor dan contoh yang baik bagi semua pelajar di universiti berkenaan.

Sebagai antara alumni perintis FUU, Richard tidak pernah melupakan persada yang mengasuh dan membentuk dirinya menjadi seorang tokoh yang hebat dalam dunia perundangan negara.

Sehubungan itu, beliau sentiasa memberikan pandangan bernas kepada graduan-graduan undang-undang UiTM supaya ke hadapan dalam profesion undang-undang, sama ada di peringkat negara mahu pun antarabangsa.

FUU UiTM dan PAUITM amat berbangga mempunyai seorang alumni yang kini diberi kepercayaan dan penghormatan untuk mengetuai badan kehakiman negara.

Sekian.

Leave a Reply

Your email address will not be published.