Kunjungan Hormat PAUiTM Ke Pejabat Menteri Kerja Raya

Kunjungan Hormat PAUiTM Ke Pejabat Menteri Kerja Raya
Menteri Kerja Raya, Baru Bian (duduk tiga dari kiri), timbalannya Mohd Anuar Mohd Tahir (dua dari kiri) dan Presiden Persatuan Alumni UiTM Malaysia (PAUiTM), Datuk Zaini Hassan (empat dari kiri) bergambar kenangan selepas kunjungan hormat persatuan itu ke atas kedua-dua alumni universiti itu di Kementerian Kerja Raya, Kuala Lumpur semalam.

 

KUALA LUMPUR 25 Julai – Persatuan Alumni UiTM Malaysia (PAUiTM) semalam mengadakan kunjungan hormat ke atas Menteri Kerja Raya, Baru Bian dan timbalannya, Mohd. Anuar Mohd. Tahir, yang kedua-dua alumni universiti itu di Kementerian Kerja Raya di sini.

Kunjungan itu sebahagian daripada siri lawatan untuk bertemu dengan para alumni dalam Kabinet baharu kerajaan, kerajaan-kerajaan negeri, peneraju syarikat-syarikat berkaitan kerajaan dan swasta.

PAUiTM diketuai oleh presidennya Datuk Zaini Hassan, yang juga Ahli Lembaga Pengarah UiTM.

Baru yang juga Ahli Parlimen Selangau, Sarawak dalam ucapannya amat gembira dengan kunjungan itu dan berharap pelbagai kegiatan dapat dijalankan bagi memberi balik kepada universiti, terutamanya kepada alumni dan masyarakat.

“Saya amat tertarik dengan yayasan yang ditubuhkan oleh alumni iaitu Tabung Pendidikan 1 Bilion (TP1B), yang hasilnya telah dinikmati oleh para penerima.

“Saya sendiri semasa belajar di ITM pada 1981 dalam jurusan undang-undang berasal dari keluarga yang miskin. Saya terpaksa merayu kepada Pengarah ITM pada masa itu iaitu Pok Nik (Datuk Nik Abdul Rashid Nik Abdul Majid) untuk mengurangkan bayaran yuran. Walaupun yuran ITM cukup murah sekitar RM90 semester tapi saya tak mampu.

“Akhirnya Pok Nik memberi pelepasan yuran kepada saya. Saya cukup bersyukur kepada beliau.

“Saya berharap yayasan TP1B ini dapat mengumpul lebih banyak dana bagi membantu pelajar-pelajar miskin seperti saya,” katanya yang mengikuti Diploma Undang-Undang di UiTM Shah Alam.

Timbalan beliau Anuar Tahir pula berkata, jasa ITM/UiTM kepada beliau tiada ternilai.

“Jika saya mati dan hidup balik, saya akan tetap mahu menuntut di ITM. Ia sentiasa di hati saya,”  kata beliau bekas penuntut jurusan Pengajian Perniagaan.

Beliau yang juga Ahli Parlimen Temerloh bersetuju membantu Persatuan Alumni dalam beberapa aktiviti menjana kewangan alumni. Anuar bekas pemimpin pelajar Kesatuan Siswa ITM di ITM Jalan Othman pada 1971.

Dalam kunjungan kira-kira hampir dua jam itu, Zaini turut menerangkan mengenai aktiviti persatuan yang dinaungi oleh lebih 650,000 alumni universiti itu.

Turut hadir ialah timbalan presiden PAUiTM Saiful Azhar Shaharun, Naib Presiden PAUiTM Shamsul Azlan Mohd Nor, Setiausaha PAUiTM Shukri Ishak, Presiden Alumni Kejuruteraan UiTM yang juga mantan Pengarah Urusan Proton, Datuk Ir Kisai Rahmat, Pengasas Yayasan Kesenian Perak, Raja Ahmad Aminullah Raja Abdullah, mantan Ketua Hal Ehwal Malaysia, Association of Chartered Certified Accountant (ACCA), Nik Roseli Mahmood dan mantan Pengarah CIDB Wilayah Datuk Othman Razali, Pengarah Urusan Prihatin Binaan Sdn. Bhd. Datuk Nasarudin Ali dan Pengerusi Swir Resources, Datuk Ishak Jaafar.

Leave a Reply

Your email address will not be published.