Bekas pengacara TV3, Datuk Mahadzir Lokman meninggal dunia

Bekas pengacara TV3, Datuk Mahadzir Lokman meninggal dunia

Beliau yang berumur 61 tahun dilaporkan meninggal dunia di sebuah hotel di Kota Kinabalu, Sabah kira-kira pukul 6 pagi selepas menunaikan solat Subuh.

Berita kematian itu disahkan oleh adiknya, Ida Lokman.

Allahyarham dikatakan mempunyai urusan kerja di Kota Kinabalu. Pihak keluarga masih belum dapat mengesahkan punca kematian beliau.

Pada tahun lalu Mahadzir dimasukkan ke Unit Rawatan Rapi (ICU) Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM) akibat komplikasi buah pinggang dan paru-paru.

Menyusuri kerjayanya, Mahadzir yang merupakan anak seorang duta pernah bersama bapanya Datuk Lokman Musa tinggal di Paris sektar tahun 1978 sehingga 1983.

Ayahnya, Datuk Lokman pernah menjadi Pengarah ITM dari 1975 hingga 1978.

Beliau yang berkelulusan Ijazah Sarjana Muda dan Sarjana Pengurusan Perniagaan dari Universiti Ohio ini berkebolehan menguasai enam bahasa termasuklah bahasa Perancis dan sering dijemput menjadi juru acara dalam program bertaraf antarabangsa.

Dalam bidang penyiaran, Mahadzir memulakan kerjayanya di TV3 pada tahun 1984 dan diberi kepercayaan menjadi penyampai berita berbahasa Melayu dan Inggeris.

Selepas meninggalkan kerjayanya dalam bidang penyiaran, Allahyarham membuka syarikat perhubungan awam dikenali sebagai Dale Lokman Communications dan menjadi juruacara sambilan sehingga hayatnya.

Dalam pada itu, sumber polis berkata, Mahadzir dilaporkan telah mendaftar masuk di sebuah hotel di Kota Kinabalu bersama rakan baiknya Datin Dr Maimunah bersama suami dan dua orang anak dan mengambil bilik berasingan.

Menurut kenalan rapat beliau, kali terakhir berjumpa dengan mangsa pada Khamis pukul 10.40 malam selepas selesai makan malam dan masing-masing pulang ke bilik.

Dimaklumkan juga, pada subuh pagi Jumaat, beliau sempat menghantar pesanan ucapan selamat pagi di kumpulan Whatsapp pukul 5 pagi.

Namun lebih kurang pukul 9.30 pagi, kenalan rapatnya memanggil pengadu tetapi tiada jawapan sebelum pihak hotel diminta untuk membuka pintu bilik dan mangsa didapati tidak sedarkan diri dan disahkan meninggal dunia oleh doktor yang dipanggil memberi rawatan.

http://www.mstar.com.my/hiburan/berita-hiburan/2018/08/03/mahadzir-lokman-meninggal/#AsH1I9gxPOdY1Izh.99

Leave a Reply

Your email address will not be published.