Syed Zainal Abidin dilantik pengerusi Lembaga Pengarah UiTM

Syed Zainal Abidin dilantik pengerusi Lembaga Pengarah UiTM

PUTRAJAYA: Pengarah Urusan dan Ketua Pegawai Eksekutif Petronas Dagangan Berhad, Datuk Seri Syed Zainal Abidin Syed Mohamed Tahir dilantik sebagai pengerusi Lembaga Pengarah Universiti Teknologi Mara (UiTM) yang baru berkuat kuasa Julai lepas.

Menteri Pendidikan Dr Maszlee Malik dalam satu kenyataan di sini semalam ini berkata pelantikan untuk tempoh 3 tahun tokoh berpengalaman dalam bidang korporat dan pendidikan itu adalah bagi menggantikan Tan Sri Dr Ahmad Zaidee Laidin yang memegang jawatan itu sejak Julai 2015.

Maszlee berkata Syed Zainal Abidin yang memiliki Ijazah Sarjana Muda Sains dalam jurusan kejuruteraan daripada University of Maryland, Amerika Syarikat berpengalaman sebagai anggota panel penasihat industri bagi beberapa universiti awam dan swasta.

Beliau berkata tokoh berusia 55 tahun itu juga pernah dilantik sebagai Ahli Jawatankuasa Induk Anugerah Akedemik Negara, Kementerian Pendidikan Malaysia selain menerajui Kumpulan Proton Holdings Bhd dan Perodua Auto Corporation Sdn Bhd.

Maszlee berkata selaku tokoh korporat yang dihormati dan disegani, beliau yakin Syed Zainal Abidin mampu mengemudi UiTM menjadi pusat pengajian tinggi dinamik untuk bergerak seiring dengan keperluan dan cabaran semasa.

Saya percaya kepimpinan beliau akan memberi suntikan baru kepada kecemerlangan UiTM yang secara tidak langsung membantu hasrat kerajaan terus memartabatkan sistem pendidikan negara, katanya.

Maszlee turut merakamkan penghargaan kepada Ahmad Zaidee atas sumbangannya sepanjang menyandang jawatan Pengerusi UiTM sehingga tempoh perkhidmatan berakhir Julai lalu.

Leave a Reply

Your email address will not be published.