Menggamit kenangan di Level 13

Menggamit kenangan di Level 13

KUALA LUMPUR: Satu pertemuan semula bagi mengumpulkan bekas pelajar Fakulti Komunikasi dan Pengajian Media (FKPM), Universiti Teknologi MARA (UiTM) akan diadakan di Dewan Seri Hatinie, Seksyen 15, Shah Alam, pada 27 Oktober depan.

Pemangku Presiden Alumni Masscomm UiTM, Basree Rakijan, berkata majlis pertemuan bekas pelajar fakulti itu yang sebelum ini dikenali sebagai Kajian Sebaran Am (KSA) Institut Teknologi MARA (ITM) akan turut meraikan sidang pertama Masscomm pada tahun 1972.

Katanya, pada majlis itu juga, pihaknya akan menyampaikan `Hall of Fame’ kepada empat bekas pelajar terpilih daripada bidang pengkhususan asas yang diperkenalkan ketika itu iaitu Kewartawanan, Penyiaran, Perhubungan Awam dan Periklanan.

Pemangku Presiden Alumni Masscomm UiTM, Basree Rakijan.

“Penganjuran majlis ini bertujuan merapatkan kembali silaturahim dalam kalangan bekas pelajar yang sekian lama terpisah selepas meneruskan kerjaya masing-masing.

“Majlis alumni ini bertujuan mengumpul seramai mungkin bekas pelajar Masscomm bagi membantu mereka membina rangkaian penting dalam memudahkan urusan kerja,” katanya menerusi kenyataan media, hari ini.

Basree berkata, bekas pensyarah dan pensyarah KSA serta FKPM juga dijemput hadir sebagai menghargai jasa mereka dalam menyampaikan ilmu kepada pelajar sehingga berjaya bergelar graduan.

Katanya, sudah tentu ada di antara bekas pelajar tidak pernah bersua muka sejak tamat pengajian dan program itu secara tidak langsung mengeratkan semula hubungan silaturahim sesama mereka.

“Suka-duka belajar di tingkat 13 atau lebih dikenali Level 13, Bangunan Menara sudah pasti menyimpan banyak nostalgia. Jadi, jangan lepaskan peluang untuk bersama nanti,” katanya.

Sambil mengajak bekas pelajar mencari ruang untuk berbakti semula kepada pusat pengajian, beliau berkata, pihak alumni sedang merangka beberapa program bagi manfaat bersama.

Bekas pelajar yang berminat hadir boleh menghubungi Setiausaha Alumni Masscomm, Haniff Ghazali di talian 012-2167577 atau Penolong Setiausaha, Ziela Makrof, 019-3830338.

Leave a Reply

Your email address will not be published.