Kenang jasa UiTM dalam mendidik anak bangsa-Arshad Ayub

Kenang jasa UiTM dalam mendidik anak bangsa-Arshad Ayub

SHAH ALAM 15 Nov.- Jasa Universiti Teknologi Mara (UiTM) dalam mendidik anak bangsa perlu dikenang selagi nyawa dikandung badan walaupun mereka yang pernah menuntut di gedung ilmu itu tidak lagi berada dalam universiti tersebut.

Pro Canselor UiTM, Tan Sri Dr. Arshad Ayub berkata, ini kerana universiti tersebut dilihat terbukti melahirkan graduan yang kini berjaya dalam bidang masing-masing.

“Seperti pantun yang berbunyi pisang emas dibawa belayar, masak sebiji di atas peti, hutang emas boleh dibayar, hutang budi dibawa mati.

“Dalam konteks UiTM, hutang pada universiti itu dibalas sehingga mati. Bukan saya sahaja, tetapi ramai lagi individu yang banyak memberi jasa kepada UiTM sehingga mampu berada pada tahap tertinggi,” katanya dalam majlis Makan Malam Sempena Hari Lahirnya yang Ke-90 di Dewan Agung Tunku Canselor di sini malam ini.

Majlis anjuran Persatuan Alumni UiTM dan Tabung Pendidikan 1 Bilion (TP1B) turut dihadiri Timbalan Menteri Kerja Raya, Mohd. Anuar Tahir; Naib Canselor UiTM, Prof. Emeritus Datuk Dr. Hassan Said; bekas Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Idris Jusoh dan Presiden Persatuan Alumni Universiti Teknologi Mara Malaysia (PAUiTM), Datuk Zaini Hassan.

Dalam majlis tersebut juga TP1B turut menyumbangkan RM1 juta kepada UiTM untuk tujuan pendidikan, kebajikan, biasiswa dan penyelidikan ilmiah.

Sementara itu, Dr. Hassan ketika berucap menyifatkan dalam kalangan warga kerja UiTM, beliau seorang yang tegas dan tidak menerima alasan ‘tidak boleh’.

“Dalam ketegasannya itu, beliau banyak memberi inspirasi dan kekuatan kepada ramai warga kerja UiTM, baik yang bersara mahupun yang masih berada di universiti ini,” ujarnya. – UTUSAN ONLINE

Leave a Reply

Your email address will not be published.