Al-Sultan Abdullah dimasyhur Tuanku Canselor UiTM

Al-Sultan Abdullah dimasyhur Tuanku Canselor UiTM
Gambar atas: Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah menyampaikan titah pada Istiadat Pemasyuran Yang di-Pertuan Agong sebagai Canselor Universiti Teknologi Mara (UiTM) di Dewan Agong Tuanku Canselor (DATC) UiTM hari ini. — fotoBERNAMA

 

SHAH ALAM: Yang di-Pertuan Agong, Al- Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah ibni Sultan Haji Ahmad Shah Al-Musta’in Billah, dimasyhurkan sebagai Tuanku Canselor Universiti Teknologi MARA (UiTM), hari ini.

Watikah pemasyhuran baginda dipersembahkan oleh Menteri Pendidikan, Dr Maszlee Malik pada Majlis Istiadat Pemasyhuran Tuanku Canselor UiTM di Dewan Agong Tuanku Canselor, di sini.

Sementara itu, Al- Sultan Abdullah dalam titahnya menzahirkan rasa bangga atas pemasyhuran baginda sebagai canselor kepada sebuah Institusi Pendidikan Tinggi yang terbukti mempunyai sejarah perjuangan yang cukup istimewa khususnya dalam membina kecemerlangan dan jati diri bangsa Melayu dan Bumiputera.

“Sesungguhnya, universiti ini memainkan peranan yang besar dalam melestarikan darjat dan martabat bangsa peribumi melalui pendidikan tinggi, kerana itu lah universiti ini sudah sekian lama berperanan dalam melahirkan modal insan Bumiputera yang berkualiti dan berjasa kepada negara.

“Pada hemat Beta, universiti ini hendaklah terus mengekalkan visinya iaitu memberi penekanan kepada kelestarian serta kelangsungan bangsa Melayu dan Bumiputera dalam bidang pendidikan. Ini bagi menentukan Bumiputera terus unggul dalam semua bidang profesional bertaraf dunia,” titah baginda.

Seri Paduka baginda bertitah, bagi menentukan bangsa Melayu dan Bumiputera terus berdaya saing di pentas global, universiti itu perlu menyediakan pengajian yang mengkaji pemikiran, kepintaran serta budaya kepelbagaian bangsa yang merentasi zaman sebagai bekalan untuk memartabatkan bangsa.

Titah baginda, semua itu boleh dilakukan tanpa merubah identiti dan matlamat asal penubuhan universiti berkenaan.

“Melalui pendekatan ini, ia boleh merubah jiwa dan stigma Bumiputera dengan membina keyakinan diri bahawa bangsa Melayu dan Bumiputera mampu bersaing di persada dunia.

“Beta percaya jika sesuatu bangsa itu ingin berubah dan mengatasi sebarang cabaran yang mendatang maka bangsa itu hendaklah memiliki modal insan yang berilmu pengetahuan dan juga memiliki pegangan spiritual serta sahsiah yang unggul,” titah baginda.

Baginda juga menitahkan agar UiTM sebagai pusat perkembangan ilmu dan tamadun yang melahirkan cerdik pandai, turut mempunyai tanggungjawab besar untuk menyemai nilai integriti dalam usaha melahirkan graduan yang berkualiti tinggi.

“Nilai integriti ini mesti juga tersemat dalam tunjang kepimpinan sesebuah organisasi. Ini kerana kepimpinan yang beretika dan berwibawa akan menjamin kecemerlangan organisasi.

“Justeru, Beta menyeru kepada sekalian warga untuk sama-sama membudayakan amalan integriti dalam semua aspek kehidupan agar menjadi insan yang bermoral, beretika dan terpuji,” titah baginda.

Al-Sultan Abdullah turut menyeru kepada sekalian rakyat Malaysia untuk mengelakkan sebarang tingkah laku mahupun pertuturan yang boleh mengakibatkan berlakunya perpecahan dan perbalahan serta fitnah dan hasad dengki.

Menurut Seri Paduka, ia hanya akan mengundang kemusnahan kepada tamadun bangsa dan kemajuan yang sudah sekian lama terbina.

“Beta menyeru agar dipelihara dan dijaga nama baik universiti ini. Universiti Teknologi MARA adalah sebuah institusi yang penuh sejarah, lagi keramat. Di sinilah darjat, martabat dan hak bangsa Melayu serta Bumiputera diperjuangkan.

-BERITA HARIAN

Leave a Reply

Your email address will not be published.