36 kampus UiTM sasar status kampus hijau

36 kampus UiTM sasar status kampus hijau
Gambar atas: Timbalan Naib Canselor Penyelidikan dan Inovasi UiTM, Prof. Dr.Mohd Nazip Suratman menanam pokok merawan kanching selepas merasmikan Hari Hutan Antarabangsa 2019 peringkat UiTM di Universiti Teknologi Mara (UiTM) Cawangan Pahang Kampus Jengka, hari ini. STR/ ROSELAN AB MALEK

 

MARAN: Universiti Teknologi MARA (UiTM) menyasarkan 36 kampusnya di seluruh negara dapat memenuhi kriteria penarafan UI-Green Metric World University Ranking tidak lama lagi.

Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan dan Inovasi) UiTM, Prof Dr Mohd Nazip Sulaiman berkata, sasaran itu boleh dicapai melalui pendidikan lestari dan pelaksanaan projek yang dapat memberi impak kepada gaya hidup sihat, keberkesanan penggunaan tenaga dan pemeliharaan sumber sedia ada.

“Program menghijaukan kampus ini bukan sahaja membabitkan pelajar sekolah dan mahasiswa UiTM, tapi turut membabitkan masyarakat sekitar kampus.

“Sebagai contoh, kawasan kampus UiTM Pahang di (Bandar Pusat) Jengka mempunyai kira-kira 120 hektar hutan untuk tujuan pembelajaran boleh dijadikan perintis kepada usaha melestarikan agenda kampus hijau seperti yang kita hasratkan.

“Ini juga adalah sejajar dengan hasrat kerajaan dalam usaha melahirkan generasi muda yang menghargai alam sekitar, menjaga sumber air bersih dan mengawal hakisan tanah yang boleh mengakibatkan bencana.

“Melalui program menghargai kelestarian hutan ini, sudah pasti dapat meningkatkan rasa kecintaan kita terhadap alam sekitar, seterusnya dalam menyumbang kepada usaha mengurangkan kesan pemanasan global dan perubahan iklim,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada media selepas merasmikan Hari Hutan Antarabangsa 2019 Peringkat UiTM di Kampus UiTM Pahang, dekat Bandar Pusat Jengka, di sini, hari ini.

Yang turut hadir Pemangku Rektor UiTM Kampus Pahang, Prof Dr Azhan Hashim @ Ismail.

Dr Mohd Nazip berkata, kerjasama antara UiTM dengan Jabatan Perhutanan negeri, Jabatan Alam Sekitar, Institut Penyelidikan Perhutanan Malaysia (FRIM) dan Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (PERHILITAN) sangat penting dalam memastikan hasrat UiTM ini dapat dijadikan kenyataan.

Katanya, penarafan UI-Green Metric ini juga bakal meningkatkan jenama UiTM di peringkat antarabangsa dan mengharumkan nama Malaysia.

 

Leave a Reply

Your email address will not be published.