[VIDEO] Yuran rendah, kualiti tinggi jadikan UiTM pilihan

[VIDEO] Yuran rendah, kualiti tinggi jadikan UiTM pilihan
Oleh NORSYAZWANI NASRI

 

KOTA SAMARAHAN — Faktor yuran pengajian rendah dengan kualiti tenaga pengajar profesional menjadikan Universiti Teknologi MARA (UiTM) sering menjadi pilihan utama pelajar untuk melanjutkan pengajian mereka ke tahap tertinggi.

Rektor UiTM Sarawak, Profesor Datuk Dr Jamil Hamali, berkata menerusi Ekspo Selangkah ke UiTM Cawangan Sarawak, ia membuka ruang kepada pelajar lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dan Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM), mengetahu lebih mendalam kursus yang ditawarkan.

“Pengunjung juga akan diberi khidmat nasihat dan bantuan khususnya dalam proses permohonan kemasukan ke UiTM. Selain itu, kami mengambil peluang mempromosikan pelbagai program bermula peringkat sijil, diploma, ijazah sarjana muda, sarjana dan sarjana kedoktoran falsafah.

“Mana-mana pemohon berminat, mereka boleh ditempatkan di UiTM Kampus Samarahan, UiTM Kampus Samarahan 2 dan UiTM Kampus Mukah, mengikut kursus dipohon,” katanya, di sini hari ini.

Ekspo Selangkah ke UiTM diadakan selama empat hari bermula 29 Mac hingga esok, bermula jam 9 pagi hingga 5 petang. Ekspo sama turut diadakan di Mukah, Sibu, Miri dan Bintulu bermula 23 Mac lalu.

Jamil ketika mengulas lanjut, berkata antara fokus penganjuran ekspo berkenaan adalah memberi maklumat terkini dan tepat membabitkan program ditawarkan di UiTM Cawangan Sarawak, agar bersesuaian dengan kehendak pasaran.

“Pelajar serta ibu bapa rata-rata berpuas hati dengan usaha serta pendekatan dilaksanakan UiTM untuk memberi penerangan secara menyeluruh dan komprehensif kepada semua calon lepasan SPM,” katanya.

Katanya, lepasan SPM juga berpeluang mengetahui lebih lanjut membabitkan program Mengubah Destini Anak Bangsa (MDAB), yang mensasarkan bantuan terhadap pelajar lepasan SPM Bumiputera yang berasal daripada keluarga kurang bernasib baik.

“Mereka yang layak akan ditawarkan melanjutkan pengajian dalam program pra-diploma di UiTM,” katanya.

-NSTP

 

Leave a Reply

Your email address will not be published.