UiTM FC diperkuat arkitek Kyrgyzstan

UiTM FC diperkuat arkitek Kyrgyzstan
Foto: Pemain Terengganu FC II, Muhammad Hafizal Mohamad @ Alias (kiri) diasak oleh pemain UITM FC dalam perlawanan Liga Premier 2019 di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah. NSTP/ROZAINAH ZAKARIA

 

 

KUALA TERENGGANU — Jentera tengah pasukan UiTM FC bakal menjadi lebih mantap apabila skuad yang terkenal dengan gelaran The Lions Troop itu mengikat pemain kelahiran Kyrgyzstan, Akhlidin Israilov pada jendela kedua perpindahan pemain.

Perkara itu disahkan pengendalinya, Ismail Zakaria selepas tamat perlawanan Liga Perdana bertemu Terengganu FC II (TFC II) di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah yang berkesudahan skuadnya tewas 1-0 hasil jaringan Bruno Suzuki.

“Pemain tengah yang mampu menyerang itu bakal tiba pada Selasa ini dan pemain yang pernah menyarung jersi kelab PSIS Semarang dalam Liga Indonesia itu mampu memperkuatkan jentera tengah pasukan pada pusingan kedua ini,” kata Ismail.

“Bagaimanapun pemain mana yang bakal digugurkan belum dimuktamadkan lagi tetapi yang pasti bekas pemain kebangsaan Kyrgyzstan berketinggian 1.80 meter itu bakal menyarung jersi skuad kami.”

Berdasarkan prestasi semasa, pemain kelahiran Brunei, Adi Said yang mencipta sejarah meledak gol terpantas iaitu selepas 20 saat permainan dimulakan ketika pasukannya menundukkan PDRM 3-1 pada aksi pertama Liga Perdana musim ini, disebut-sebut bakal digugurkan.

Selain Adi, pemain import lain yang membarisi skuad itu musim ini adalah penjaring terbanyak Liga Perdana setakat ini, Zarko Korac dari Montenegro, Robert Mendy dari Senegal dan pemain kelahiran Uganda, Bernard Agele.

Mengulas kekalahan tipis malam tadi, Ismail mengakui ketiadaan Korac yang menerima kad merah ketika bertemu UKM dan Mendy yang belum pulih daripada kecederaan menyebabkan jentera serangan skuadnya tumpul biarpun mempunyai peluang terhidang.

“Sebenarnya peluang buat kami untuk menjaringkan gol tetap ada lagipun permainan adalah seimbang, tetapi idea kurang dan sikap rendah diri pemain tempatan menyebabkan kita gagal menyudahkan peluang itu dengan jaringan.

“Jadi memang terasa dengan ketiadaan dua pemain itu, justeru pertembungan dengan UKM selepas ini, saya tuntut pemain tidak mengulangi skrip sama sebaliknya beraksi seperti biasa terutama dengan kehadiran semula dua penyerang import itu,” katanya.

https://www.bharian.com.my/sukan/bola/2019/05/560117/uitm-fc-diperkuat-arkitek-kyrgyzstan

Leave a Reply

Your email address will not be published.