Program keusahawanan Kolej Perindu beri nilai tambah kepada graduan

Program keusahawanan Kolej Perindu beri nilai tambah kepada graduan

SHAH ALAM — Program berbentuk keusahawanan dipercayai dapat memberi nilai tambah kepada graduan agar lebih kompetitif serta mampu berdaya saing.

Melihat kepada kepentingan program yang keusahawanan, Jawatankuasa Perwakilan Kolej (JPK) Perindu Universiti Teknologi MARA (UiTM) menganjurkan Karnival Usahawan Perindu selama tiga hari bermula Sabtu hingga hari ini.

Pengarah Program, Muhammad Najmuddin Mazlan berkata, pelbagai program dianjurkan sempena karnival berkenaan termasuk forum Jom Jadi Jutawan (3J).

“Kemahiran keusahawanan adalah antara aspek Kemahiran Insaniah yang difokuskan oleh UiTM dalam melahirkan graduan yang kompetitif dan mampu berdaya saing terutamanya dalam bidang perniagaan dan keusahawanan.

“Justeru, penganjuran karnival ini diharapkan mampu menyalakan semangat dalam diri pelajar untuk menjadi usahawan yang berdaya saing,” katanya ketika ditemui pada Forum Jom Jadi Jutawan di Kolej Perindu, UiTM, di sini kelmarin.

Beliau berkata, forum 3J sebagai contoh adalah ruang untuk pelajar mendapat pendedahan mengenai bidang keusahawanan dengan mendengar perkongsian daripada panel jemputan.

Katanya, panel jemputan adalah Pengarah Urusan Jeruk Madu Pak Ali iaitu Alias Ali dan Pengasas Extravaganza Futsal Shop, Mohd Ikhlas Mat Arifin.

“Panel jemputan kita adalah Bumiputera yang bermula dari bawah dan kemudiannya berjaya dengan usaha yang keras.

“Sebagai contoh, Pengarah Urusan Jeruk Madu Pak Ali bermula dari ‘zero’ malahan beliau juga memaklumkan hanya belajar sehingga Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) saja.

“Bagaimanapun, dengan usaha yang gigih serta semangatnya, jenama jeruk madu itu terkenal di seluruh negara malah kami difahamkan, mereka kini sedang cuba menembusi pasaran antarabangsa iaitu ke China,” katanya.

Beliau berkata, diharapkan perkongsian pengalaman daripada dua panel berkenaan menjadi pembakar semangat untuk pelajar mengikuti jejak langkah mereka seterusnya menjadi graduan yang lebih kompetitif.

-BH

Leave a Reply

Your email address will not be published.