Piala Sumbangsih kekal milik UiTM 2 tahun berturut-turut

Piala Sumbangsih kekal milik UiTM 2 tahun berturut-turut
PEMAIN UITM meraikan kemenangan pada saingan Liga Bola Sepak IPT Piala Sumbangsih diantara UITM menentang UPSI dengan jaringan 3-2 di Stadium Uitm Shah Alam. NSTP/MUHD ZAABA ZAKERIA

 

SHAH ALAM — Universiti Teknologi MARA (UiTM) berjaya menewaskan Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) 3 – 2 dalam Perlawanan Sumbangsih Liga Bola Sepak Institusi Pengajian Tinggi (LBSIPT) 2019/2020 di Stadium UiTM Shah Alam baru-baru ini.

Jaringan pasukan UiTM disumbangkan oleh pemain jersi bernombor 11, Muhammad Izman Solehin Rohadi pada minit ke-45 dan pada masa tambahan pada separuh masa pertama, manakala pemain jersi 28, Hausen Shwahiri Hasboni Shawal meletakkan gol UPSI pada minit ke-69.

Pasukan UPSI pula cuba mengejar kedudukan UiTM apabila, dua pemainnya iaitu Muhammad Nuriqmal Tumin menyumbat gol pada minit ke-48 dan Badrul Hafiz Mohd Isa pada minit ke-89, namun tidak cukup untuk menyamai bilangan gol pasukan tuan rumah mahupun menewaskannya di laman sendiri.

Perlawanan Sumbangsih ini sebagai pembuka tirai musim ini antara UiTM selaku Johan Divisyen 1 LBSIPT 2018/2019 bertemu UPSI selaku Naib Juara Piala Menteri Pendidikan Malaysia 2018/2019.

Majlis penyampaian hadiah disempurnakan Ketua Penolong Setiausaha Kanan Unit Sukan, Bahagian Perancangan dan Penyelarasan Dasar, Kementerian Pendidikan Malaysia, Dr Pekan Ramli.

Turut hadir menyaksikan perlawanan adalah Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni) UPSI, Prof Dr Md Amin Md.Taff dan Pengarah Pusat Sukan UiTM, Mustaza Ahmad.

Sementara itu, Ketua Jurulatih pasukan UiTM, Iqbal Hanafi Masduki menyifatkan kemenangan anak buah sebagai  impak positif kepada pasukannya sepanjang LBSIPT 2019/2020.

“Alhamdulillah, syukur ke hadrat Ilahi UiTM berjaya memenangi Piala Sumbangsih bagi tahun 2019. Hasil kerja keras pemain sendiri, kakitangan kejurulatihan, pengurus, pihak UiTM,” katanya.

Beliau berkata, sudah pasti beliau mahu pasukannya mengekalkan prestasi sepanjang LBSIPT 2019/2020.

“Saya ada 30 pemain, mereka semua layak dan saya percaya setiap pemain saya kerana level dan prestasi mereka. Saya akan bagi peluang kepada mereka semua untuk beraksi. Saya harap mereka konsisten sepanjang liga ini.

“Keputusan hari ini memberi kelegaan kepada saya dan bagi saya, pasukan UPSI juga pasukan yang baik,” katanya.

Ketika ditanya sama ada beliau benar-benar berpuas hati dengan corak perlawanan pemainnya, beliau berkata, pemain sepatutnya memanfaatkan peluang yang ada.

“Saya berpuas hati walaupun ada beberapa peluang tidak dimanfaatkan sebaiknya, jika dimanfaatkan permainan jadi lebih mudah dan pemain dapat lakukan yang lebih baik lagi,” katanya.

LBSIPT 2019/2020 anjuran KPM ini akan beraksi di seluruh negara di kompleks sukan dan stadium IPT yang menyertai perlawanan, sehingga 22 Mac 2020.

Sebanyak 13 pasukan akan bertanding membabitkan Divisyen 1 dan 15 pasukan Divisyen 2.

Divisyen 1 membabitkan UiTM Shah Alam, UPSI, Universiti Sultan Zainal Abidin (Unisza), UiTM Perlis, Politeknik Malaysia, Universiti Malaysia Terengganu (UMT), UiTM Pahang, Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), Universiti Putra Malaysia (UPM), Multimedia University (MMU), Universiti Sains Malaysia (USM), Universiti Malaysia Kelantan (UMK) dan Universiti Utara Malaysia (UUM).

Divisyen 2 pula mebabitkan Universiti Malaya (UM), Help University, Kolej Komuniti Malaysia, Politeknik Ungku Omar, Universiti Tenaga Nasional (UNITEN), UiTM Negeri Sembilan, Universiti Sains Islam Malaysia (USIM), Sunway Universiti, Universiti Kuala Lumpur (UniKL), Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM), City University, Infrastructure University Kuala Lumpur (IUKL), Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Universiti Teknilkal Malaysia Melaka (UTeM) dan Malaysia Integrated Business College (Kolej MIB).

-BH

Leave a Reply

Your email address will not be published.