ORANG berbudi kita berbahasa, orang memberi kita merasa

ORANG berbudi kita berbahasa, orang memberi kita merasa

PEPATAH Melayu mana lagi yang lebih relevan selain di atas untuk mengungkapkan matlamat perlumbaan Budi Half Marathon (BHM) 2020 di Dataran Kehakiman, Putrajaya pada 22 Februari 2020 ini.

Melalui BHM 2020, para bekas siswanya diseru menghayati erti dan menjadikan amalan berbudi semula kepada generasi baharu pelajar-pelajarnya terutama yang cemerlang dalam pelajaran tetapi mungkin masih dibelenggu kemiskinan dan kekangan tertentu.

“Inilah satu cara para Alumni Universiti Teknologi Mara (UiTM) memberikan semula apa yang dinikmati dalam kehidupan dan karier mereka sekarang selepas menimba ilmu di institusi pengajian tinggi itu kepada negara, masyarakat dan generasi baharu pelajarnya.

“Ayuhlah beramai-ramai menyertainya kerana hasil kutipan yuran penyertaan akan disumbangkan kepada Yayasan Tabung Pendidikan 1 Bilion (TP1B) persatuan,” kata Pengarah Program BHM 2020, Ahmad Shamsul Bahrin Mohd. Hanafiah mengenai perlumbaan anjuran Persatuan Alumni Universiti Teknologi Mara (PAUiTM) dan JomRun Sdn. Bhd. ini.

Beliau ditemui selepas mesyuarat penyelarasan BHM 2020 siri pertama di Menara Dewan Bandaraya Kuala Lumpur yang dipengerusikan Timbalan Menteri Wilayah Persekutuan, Datuk Dr. Shahruddin Md. Salleh di Kuala Lumpur hari ini.

Tambah menarik kata Shamsul ialah BHM 2020 sekiranya mendapat sambutan hangat para peserta, bakal cuba diusahakan sebagai satu catatan rekod baharu, ‘Perhimpunan Terbesar Alumni Institusi Pengajian Tinggi (IPT)’ yang pernah diadakan di Malaysia.

“Terdapat sekitar 815,000 alumni UiTM sejak universiti ini ditubuhkan pada 1956. Sebelum ini Penang Free School pernah mencatat rekod perhimpunan terbesar Malaysia bagi bekas pelajarnya iaitu lebih 3,000 orang (kategori sekolah) pada 2016. Sasaran BHM 2020 juga ialah menarik penyertaan sehingga 10,000 orang,” katanya.

Sebanyak 16 kategori dipertandingkan antaranya Terbuka Lelaki dan Wanita, Veteran Lelaki dan Wanita, Junior Lelaki dan Perempuan, Lelaki dan Wanita UiTM, Larian Ria, Keluarga dan Tetamu Kenamaan melibatkan empat jarak berlainan, 21, 10, 5 dan 3 kilometer.

“Sejak penyertaan dibuka menerusi atas talian semalam, sebanyak 360 peserta dalam dan luar negara telah mendaftar untuk memeriahkan BHM 2020 iaitu 354 warga tempatan selain dua dari India dan masing-masing seorang dari Kemboja, Indonesia, Jepun dan Maldives.

“Larian yang mendapat kerjasama dan sokongan Kementerian Wilayah Persekutuan, Majlis Sukan Wilayah Persekutuan (MSWP) serta kelulusan Persatuan Olahraga Wilayah Persekutuan ini akan berlangsung dari 5.30 pagi hingga 11 pagi.

“Larian ini juga termasuk dalam kalendar aktiviti sempena sambutan Hari Wilayah Persekutuan 1 Februari. Selain hadiah wang tunai menanti para pemenang, terdapat cabutan bertuah antaranya hadiah tiket penerbangan ke dalam dan luar negara termasuk Hawaii.

“Kami pilih angka 22-2-2020 sebagai tarikh BHM yang bermakna segala usaha dibuat secara bergandingan dalam menuju wawasan negara kita sama ada pesertanya sudah berkeluarga, antara suami isteri dan sebagainya,” katanya.

Ditanya tentang kenapa Dataran Kehakiman Putrajaya dipilih dan bukannya Dataran Merdeka yang mungkin lebih popular dan dekat, katanya, “kami buat atas saranan MSWP dan berdasarkan situasi di situ yang boleh memuatkan lebih banyak acara sampingan untuk menambah kemeriahan seperti pameran atau gerai-gerai makanan bergerak.”

-BebasNews

Leave a Reply

Your email address will not be published.