Kewartawanan, organisasi media tidak akan mati

Kewartawanan, organisasi media tidak akan mati
FOTO: NSTP/ROSLIN MAT TAHIR.

 

SHAH ALAM — Organisasi media dan kewartawanan tidak akan mati namun bentuk dan caranya berbelanja untuk kandungan akan berubah dalam berdepan era digital.

Timbalan Menteri Pertahanan, Liew Chin Tong, berkata kewartawanan juga akan kekal sampai bila-bila manakala syarikat media pula akan terus wujud sama ada dalam bentuk media cetak mahupun dalam talian.

Katanya, media cetak akan terus wujud terutama dalam dunia berdepan dengan kewujudan berita palsu (fake news).

“Ada sesetengah pihak yang bersedia untuk membayar berita sahih, justeru agensi media yang sebenar akan bertahan dan mendapat keuntungan daripadanya.

“Persoalannya, sama ada kita mempunyai organisasi yang mencerminkan demokrasi dan pemikiran orang ramai,” katanya pada Forum Kelangsungan Media Cetak: Mengapa Dilayar Jika Boleh Dicetak? anjuran Persatuan Alumni Komunikasi Massa Universiti Teknologi MARA (UiTM), di sini, semalam.

Selain Chin Tong, turut menjadi ahli panel Penasihat Komunikasi dan Media kepada Perdana Menteri, Datuk Abdul KadirJasin; Penasihat kepada Menteri Hal Ehwal Ekonomi, Datuk Khalid Jaafar dan Ketua Pemuda UMNO Shahril Sufian Hamdan manakala Juruperunding Pemasaran, Profesor Abdul Hamid Mohamed sebagai moderator.

Turut hadir pada program itu Pengarang Kumpulan BH, Khaidir A Majid; Pengarang Urusan Jabatan Berita dan Hal Ehwal Semasa (NCA) Media Prima Berhad, Datuk Manja Ismail.

Khalid berkata, akhbar masih mempunyai pasaran berikutan manusia sentiasa mahukan wacana tinggi.

Justeru, katanya, terpulang kepada pemilik dan syarikat akhbar untuk mengambil sikap kuasa yang membawa kebebasan dan pencerahan dalam masyarakat kerana akan ada pasaran untuk itu.

“Adakah nak menjadi seperti konvensional atau menjadi media yang membawa pencerahan dan kebebasan membicarakan idea besar bukan remeh, politik besar bukan remeh.

“Kerana ada dalam masyarakat jumlah yang ramai yang mahukan media membawa pembebasan dan pembaharuan dalam masyarakat,” katanya.

Shahril pula berpendapat, berdasarkan kepada pandangan kasarnya, tiada mana-mana syarikat media cetak di dunia yang meraih keuntungan ketika ini tanpa bergantung kepada penjualan kandungan digital.

Mengambil contoh akhbar The New York Times dan Washington Post, Shahril berkata, akhbar sedemikian meminta pembacanya membayar kandungan dalam taliannya untuk menampung cetakan akhbarnya yang tidak mendatangkan keuntungan.

“Dalam keadaan ini media cetak sendiri sebagai entiti perniagaan sukar diteruskan jadi ada soal pemilikan. Bila ada pemilikan sudah tentu ada soal kebebasan di editorial.

“Kalau kandungan editorial dilihat sebagai tidak mewakili suara rakyat sebenar, kalau kandungan editorial dilihat sangat jelas mempromosi sesuatu agenda sudah tentu perkara itu akan menyebabkan orang tidak mahu membaca, sama ada digital mahupun cetakan.

“Kandungan anda perlu dilihat sebagai bebasdan mewakili suara pembaca dan nombor dua terima lah realiti bahawa walaupun kandungannya bagus kena ada langganan digital,” katanya.

-BH

Leave a Reply

Your email address will not be published.