Tabung Alumni UiTM capai RM1 bilion hujung tahun

Tabung Alumni UiTM capai RM1 bilion hujung tahun

IMG_339716416168207

PUTRAJAYA 14 April – Tabung Pendidikan Alumni Universiti Teknologi Mara (UiTM) optimis dapat mengutip dana RM1 bilion menjelang hujung tahun ini daripada alumni institusi pengajian tinggi awam (IPTA) tersebut.

Menteri Pendidikan II, Datuk Seri Idris Jusoh berkata, ia berdasarkan sambutan menggalakkan daripada alumni apabila RM150,000 sumbangan sudah dapat dikumpulkan dalam tempoh hampir dua bulan sejak penubuhan tabung itu.

Beliau yang merupakan penaung tabung pendidikan tersebut berkata, jumlah itu mungkin akan melebihi sasaran sebenar memandangkan UiTM telah melahirkan lebih 530,000 graduan.

 

IMG_339707888030999

“Ini bermakna kalau setiap orang memberi derma dengan purata RM2,000, maka jumlah yang berjaya kita kutip akan lebih daripada RM1 bilion.

“Kalau kita lihat jumlah RM1 bilion bukanlah angka besar, cuba kita lihat bagaimana universiti terkemuka Harvard mengumpul sehingga RM100 bilion untuk dana pendidikan mereka,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar sempena Majlis Penyerahan Sumbangan Dana Pendidikan Persatuan Alumni UiTM Malaysia (PAUiTM), di sini hari ini.

Yang hadir sama, Ahli Lembaga Pengarah UiTM, Tan Sri Arshad Ayub; Presiden PAUiTM, Datuk Zaini Hassan dan Presiden Yayasan Pendidikan Cheras (YPC), Datuk Seri Syed Ali Alhabshee.

 

IMG_339687678802484

Pada majlis itu, YPC menyumbang RM50,000 dan Syarikat Swakaya Sdn. Bhd. RM5,000 kepada tabung pendidikan tersebut.

Idris berkata, dana tersebut akan digunakan untuk memajukan bidang pendidikan keseluruhan dalam bentuk biasiswa, bantuan kebajikan, menaja program penyelidikan dan pembangunan (R&D).

Beliau berkata, dana berkenaan akan diberi kepada pelajar bumiputera yang memerlukan bantuan pendidikan dan tidak tertumpu kepada pelajar UiTM sahaja.

“Sebuah jawatankuasa khas dibentuk untuk menentukan bagaimana Lembaga Pemegang Amanah membelanjakan dana itu kelak dan bila dapat digunakan.

“Jawatankuasa ini belum ditubuhkan sepenuhnya dan masih di peringkat permulaan. Kita mahu menguar-uarkan bahawa tabung ini mempunyai tujuan yang baik,” katanya.

Mengulas lanjut, beliau berkata, mereka yang berminat boleh menderma dengan memberi cek atas nama Persatuan Alumni UiTM Malaysia 2008.

Sementara itu, Zaini berkata, beliau bersyukur kerana tabung pendidikan tersebut mendapat sambutan baik daripada semua pihak.

Menurutnya, meskipun baharu dua bulan, pihaknya menerima sumbangan lebih RM150,000 ringgit dan kutipan tersebut secara tidak langsung dapat menyuntik semangat kepada persatuan untuk bekerja keras.

“Kami yakin sasaran kutipan RM1 bilion dapat dicapai pada hujung tahun ini biarpun masih terlalu awal buat masa ini,” katanya.

Leave a Reply

Your email address will not be published.