Orang Melayu mesti mengenal dan mengamalkan budaya

Orang Melayu mesti mengenal dan mengamalkan budaya

paryes

KUALA LUMPUR – Penasihat Kerajaan dalam Hal Ehwal Sosial dan Kebudayaan Tan Sri Dr Rais Yatim berkata orang Melayu mesti bangkit untuk mengetengahkan budaya dan bahasanya tanpa perasaan kecil dan malu.

“Ini bererti kita mesti melonjakkan bahasa Melayu dan kita mesti megah dengan bahasa dan budaya kita. Budaya yang kita maksudkan ialah budaya yang membawa kita kepada tahap yang murni dan tinggi. Bukan setakat berjoget, menyanyi atau bersajak.

“Kita mesti wujudkan sistem hidup di mana warisannya itu tinggi. Kita agak dukacita melihat pada masa ini terlampau banyak bahagian dan aspek warisan kita yang telah berkubur. Misalnya tulisan Jawi di mana orang Melayu didapati tidak lagi kisah sama ada mati atau hidup ke tulisan itu,” katanya.

Bercakap kepada pemberita selepas majlis jamuan sempena Simposium Muafakat Minang 2014 di sini malam tadi, beliau berkata Yayasan Warisan Budaya akan melaksanakan program pemupukan budaya menerusi badan bukan kerajaan, sekolah, kolej dan badan sukarela yang boleh membantu ‘mengenal’ orang Melayu itu sendiri.

Rais yang juga Presiden Universiti Islam Antarabangsa Malaysia berharap orang Melayu di seluruh negara memberi sokongan dan galakan untuk tujuan itu.

Leave a Reply

Your email address will not be published.