Kata Alu-aluan Presiden PAUiTM Sempena Mesyuarat Agung Ke-4

Kata Alu-aluan Presiden PAUiTM Sempena Mesyuarat Agung Ke-4

Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh Salam Sejahtera

ALHAMDULILLAH kita telah berusia empat tahun hari ini!

Bagi seorang manusia ia sudah boleh berlari, memanjat dan cukup nakal. Namun begitu, di tahap kritikal ini ia amat memerlukan sokongan dan asuhan daripada semua pihak.

Setelah mengambil alih kerusi Presiden daripada penyandang dan juga pengasas-semula Persatuan Alumni UiTM Malaysia, Yang Berbahagia, Dato’ Sri Ir. Mohd. Zin Mohamed tahun lalu, kita tidak menoleh ke belakang lagi.

Kita tidak mahu melihat Alumni UiTM, yang mendabik dada dengan siswazahnya yang besar iaitu 530,000; terkubur sekali lagi!

Kekuatan Alumni UiTM mesti terus diperkasa. Semua chapters (gugusan) Alumni UiTM yang melata di seluruh negara dan dunia harus disatukan di bawah satu payung. Maka itu wujudlah wadah Persatuan ini.

Bak kata pepatah “Bersatu kita teguh, bercerai kita roboh” – kita tiada pilihan selain bertaut dan berganding bahu di atas satu tujuan, demi falsafah kewujudan UiTM itu sendiri.

Sepanjang setahun ini, barisan kepemimpinan Persatuan telah memikirkan kaedah terbaik merangka struktur organisasi untuk menjalinkan hubungan dengan semua gugusan Alumni di atas nama: “Benang bercerai-cerai bukannya kain, dek rapat tetal (padat) tenunan kain, jarum pun tidak menelusnya.”

Oleh itu, atas nasihat dan asuhan daripada pihak UiTM melalui Pusat Jaringan Industri, Masyarakat dan Alumni (ICAN), kami bersetuju bahawa keahlian Persatuan adalah berasaskan kepada gugusan atau chapters alumni yang secara automatik menjadi ahli Persatuan.

Kepimpinan gugusan akan diletakkan di bawah Majlis Perundingan Bersama, yang akan mempunyai peluang untuk memimpin kesinambungan Persatuan ini di masa akan datang.

Sepanjang setahun lalu juga, kita telah merangka pelbagai program untuk memperkenalkan kepada semua Alumni UiTM mengenai kewujudan kami.

Alhamdulillah kini, fungsi dan peranan kami telah mulai diketahui. Demi Alumni UiTM, kami berikrar akan merangka pelbagai aktiviti kebajikan, pendidikan, perekonomian, kemasyarakatan, riadah dan sebagainya.

Oleh itu, saya mewakili barisan kepemimpinan Persatuan Alumni UiTM Malaysia menjemput semua Alumni UiTM: Jom bersama-sama kami! Ingatlah kepada pepatah Melayu ini: “Kuat lilit kerana simpulnya!”

(Kekuatan persatuan terletak pada anggota-anggotanya yang bersatu padu).

Sekian, terima kasih.

DATO’ MOHD ZAINI HASSAN

Presiden

Persatuan Alumni UiTM Malaysia (2008)

Leave a Reply

Your email address will not be published.