Jangan Belakangkan Undang-Undang, Pasukan Sukarela PPS Diberi Amaran

Jangan Belakangkan Undang-Undang, Pasukan Sukarela PPS Diberi Amaran

KUALA LUMPUR — Kerajaan hari ini memberi amaran kepada mana-mana pasukan sukarelawan mencegah jenayah supaya tidak mengugut dan mencabar pihak berkuasa sehingga membelakangkan undang-undang negara.

Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak berkata walaupun kerajaan menyambut baik langkah masyarakat menjalankan aktiviti pencegahan jenayah, namun mana-mana tindakan melampaui batasan perundangan, boleh menjejaskan keamanan dan keselamatan umum.

“Semua pihak tidak terkecuali untuk mematuhi undang-undang negara dan tidak boleh mengambil tindakan sesuka hati atas alasan mencegah jenayah.

“Apa sahaja boleh guna rundingan, bukan ugut pihak berkuasa atau bahas terbuka apatah lagi jika kita mewakili pentadbiran (kerajaan negeri). Saya percaya polis akan terima cadangan jika ia dijalankan mengikut undang-undang.

“Janganlah buat sesuka hati. Kedaulatan undang-undang masih wujud. Hanya dengan cara seperti ini sahaja kita dapat jamin keamanan dan kesejahteraan di negara kita,” katanya.

Najib berkata demikian semasa berucap selepas menyampaikan Pingat Kedaulatan Negara kepada 129 penerima termasuk tujuh menteri kabinet dan anggota pasukan keselamatan di Pusat Latihan Polis (Pulapol) di sini Khamis.

Beliau jelas merujuk kepada isu Pasukan Peronda Sukarela (PPS) di Pulau Pinang yang dilaporkan bertindak di luar batasan undang-undang dalam beberapa insiden.

Baru-baru ini polis menahan 154 anggota pasukan itu dan Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar dipetik sebagai berkata PPS adalah sebuah pasukan yang tidak berdaftar dengan Pendaftar Pertubuhan (ROS).

Tangkapan anggota PPS itu dibuat selepas Ketua Menteri Pulau Pinang Lim Guan Eng dilaporkan mencabar Ketua Polis Negara supaya mengambil tindakan ke atas mereka.

Aktiviti oleh anggota pasukan itu juga dikatakan menimbulkan keresahan dalam kalangan masyarakat kerana mereka didakwa bertindak umpama samseng.

Perdana menteri menarik perhatian bahawa kerajaan menghargai sukarelawan mencegah jenayah ini kerana ia pernah dipraktikkan semasa menangani ancaman komunis dalam mencapai kemerdekaan satu ketika dahulu.

“Kita juga perlu sokongan, kerjasama rakyat jelata seperti mana kita patahkan ancaman komunis dan wujudkan ungkapan memenangi hati dan minda rakyat.

“Maka, usaha menghadapi ancaman luar dan dalam adalah penting. Namun ia mestilah mengikut undang-undang,” katanya.

Leave a Reply

Your email address will not be published.