Najib Rasmi Minggu Lautan Sedunia Di UMT

Najib Rasmi Minggu Lautan Sedunia Di UMT

 

KUALA NERUS , 23 Mei (Bernama) — Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak hari ini merasmikan program Minggu Lautan Sedunia (WOW 2016) di Universiti Malaysia Terengganu (UMT), sempena Hari Lautan Sedunia yang disambut pada setiap 8 Jun.

Najib diiringi Menteri Besar Ahmad Razif Abd Rahman, Menteri Pendidikan Tinggi Datuk Seri Idris Jusoh dan Naib Canselor UMT Profesor Datuk Dr Nor Aieni Mokhtar.

Beliau juga meluangkan masa melihat pameran WOW 2016 yang disertai Alam Sekitar Malaysia Sdn Bhd (ASMA), Bahagian Direkorat Oseanografi Kebangsaan (NOD) MOSTI, Institut Oseanografi dan Sekitaran (INOS) UMT serta beberapa institut penyelidikan lain UMT.

Semasa pameran itu, perdana menteri diperkenalkan dengan peralatan ‘Wave Glider’ yang digunakan untuk mengumpul data fizikal lautan seperti ombak, arus dan suhu bagi tujuan penyelidikan.

‘Wave Glider’ merupakan projek usaha sama di antara INOS UMT dan ASMA dengan UMT merupakan universiti pertama di Malaysia yang menggunakan peralatan berteknologi satelit itu.

Turut menarik perhatian ialah Program Survival Laut dan Penghayatan Warisan (SLPW) yang diadakan seminggu di Pulau Bidong dengan melibatkan 2250 pelajar UMT.

Sebanyak 24 program disusun sepanjang WOW 2016 dari 12 Mei hingga 8 Jun ini bagi memberi kesedaran kepada masyarakat mengenai kepentingan laut kepada manusia.

Pengisian program itu menjurus kepada ujian tahap keyakinan pelajar berhadapan dengan risiko ketika berada di laut serta pendedahan terhadap usaha bagi menjaga warisan juga khazanah lautan.

Selepas itu, Najib yang juga Pengerusi Barisan Nasional ke Duyong Marina Resort untuk bertemu kepimpinan BN Terengganu. Terdahulu, beliau merasmikan Ijtimak Pondok kali kedua di UMT.

Perdana menteri mengadakan lawatan kerja sehari ke Terengganu hari ini.

Leave a Reply

Your email address will not be published.