Seruan itu dinyatakan Pro-Canselor UiTM, Tan Sri Arshad Ayub yang yakin TP1B dilancarkan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak pada April lalu, mampu menjadi sumber kewangan besar untuk membela golongan bumiputera terus maju dalam bidang pendidikan.

“Sebagai Pro-Canselor UiTM, saya melihat inilah masa untuk alumni UiTM dan ibu bapa bekas pelajar universiti ini yang berjumlah hampir 500,000 orang menyumbang kembali kepada institusi yang telah berjaya mengubah landskap masa depan anak mereka.

“Saya tidak ingin menyatakan jumlah yang patut disumbang oleh golongan itu, tetapi apa yang penting adanya rasa ingin memberi balik dalam diri masing-masing,” katanya kepada pemberita selepas Istiadat Konvokesyen UiTM Ke-82 di sini hari ini.

Arshad berkata, jika diandaikan seorang Alumni UiTM atau ibu bapa mereka memberi sumbangan sebanyak RM2,000, mungkin sasaran yang diimpikan sebanyak RM1 bilion menjadi kenyataan tanpa menunggu masa yang lama.

Katanya, budaya memberi balik kepada UiTM perlu dilihat sebagai satu perilaku murni demi mewujudkan kesinambungan pendidikan tinggi bumiputera bagi mengisi pasaran tenaga kerja profesional dan separa profesional pada masa depan.

“Inilah masa ibu bapa yang memiliki anak yang berjaya sebagai graduan pelbagai bidang untuk turut sama menyumbang ke dalam TP1B. Menjadi harapan saya juga, untuk melihat graduan yang tamat belajar hari ini turut menyumbang kepada anak bangsa apabila sudah berjaya nanti,” katanya.

Beliau menambah, inisiatif TP1B yang telah diilhamkan oleh Menteri Pendidikan II, Datuk Seri Idris Jusoh dan turut digerakkan bersama Persatuan Alumni UiTM (PAUiTM) itu perlu disokong sepenuhnya kerana ia diwujudkan untuk disalurkan bagi tujuan pendidikan, kebajikan, biasiswa dan penyelidikan ilmiah.