Future Alam Borneo Lancar Pertandingan Penulisan Kreatif

Future Alam Borneo Lancar Pertandingan Penulisan Kreatif

SANDAKAN, 26 Mei (Bernama) — Future Alam Borneo (FAB), persatuan yang memberi tumpuan terhadap pemuliharaan dan alam sekitar serta penganjur Festival Hidupan Liar Borneo Rhythms of Rimba setiap tahun di sini, melancarkan The Borneo Book Project hari ini.

Borneo Book Project adalah suatu platform pertandingan yang berhasrat mencungkil bakat penulian kreatif dalam kalangan pelajar sekolah menengah dari daerah Sandakan di samping menggalakkan mereka bekerja secara berpasukan untuk menulis serta mengemukakan jalan cerita yang menjadikan hutan hujan dan hidupan liar Borneo sebagai subjek utama.

Pengerusi FAB Anton Ngui berkata pertandingan yang mendapat sokongan Pusat Pemuliharaan Beruang Madu Borneo (BSBCC) dan Unit Bahasa Akademik, Pejabat Pendidikan Sandakan itu, terbuka kepada pelajar sekolah menengah daripada tingkatan tiga hingga lima.

Mereka yang berminat menyertainya dipelawa menghadiri taklimat di BSBCC di Sepilok pada 10 Jun, katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Bahasa penyertaan ialah bahasa Inggeris dan hadiah berjumlah RM2,000 disediakan untuk pemenang.

Anton berkata objektif pertandingan itu ialah untuk melibatkan belia dalam topik alam sekitar serta memperbaharui penghargaan mereka terhadap warisan semula jadi, di samping mencungkil kreativiti mereka dalam bidang penulisan dan ilustrasi.

“FAB yakin akan dapat menemui cerita fiksyen yang boleh diterjemahkan ke dalam bentuk cetakan, kesusasteraan atau buku ilustrasi atau malah siri animasi dan filem untuk tontonan antarabangsa suatu hari nanti,” katanya.

Beliau berkata sahabat FAB, Dr Brandon Charleston, iaitu pengarah negara Raleigh International Borneo, baru-baru ini berkongsi satu cerita di mana hutan hujan Borneo Sabah menjadi sumber ilham bagi suatu babak dalam filem Disney’s The Jungle Book.

“Bekas sukarelawan, Helen Brownell, yang kini bertugas sebagai artis kesan visual dengan Moving Picture Company, mendapat ilham daripada masa yang dihabiskannnya di hutan hujan Sabah pada 2006 dan kenangan itu mempunyai pengaruh dalam lukisan bagi babak yang kini dapat kita tonton di layar perak.

“Kami berharap pertandingan ini akan membawa kepada hasil yang sama pada masa akan datang dan kami sedang menunggu penyertaan,” katanya.

Tarikh tutup penyertaan ialah 30 Jun.

— BERNAMA

Leave a Reply

Your email address will not be published.