Semua kampus UiTM diberi status autonomi

Semua kampus UiTM diberi status autonomi

SHAH ALAM: Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak bersetuju untuk melaksanakan sistem autonomi di semua kampus Universiti Teknologi Mara (UiTM) bagi memastikan urus tadbir yang lebih berkesan.

Beliau berkata sistem autonomi itu akan membolehkan pemindahan kuasa kepada rektor semua kampus terbabit..

“Bila sudah sampai 200,000 lebih (pelajar), perlu ada struktur urus tadbir yang boleh menentukan bahawa pentadbiran UiTM boleh ditadbir dengan berkesan bagi berkemampuan untuk mengendalikan institusi yang besar.

“Dengan cara sebegini maka setiap kampus akan mempunyai kuasa autonomi tetapi struktur UiTM keseluruhannya akan kekal inilah langkah ke hadapan untuk UiTM yang saya nak maklumkan,” katanya.

Kampus UiTM kini sudah diwujudkan secara menyeluruh di setiap negeri dan konsep autonomi dilihat adalah paling sesuai bagi mengekalkan prestasi institusi pendidikan Bumiputera itu.

Najib berkata demikian di majlis pelancaran Tabung Pendidikan 1 Bilion (TP1B) anjuran Persatuan Alumni UiTM Malaysia di ibu negara pada Sabtu.

Sehingga kini sebanyak 11.1 juta ringgit dana TP1B dikutip daripada bekas penuntut dan pelajarnya termasuk pelbagai daripada sektor awam dan korporat.

Dana berkenaan itu turut digunakan bagi membantu 15 pelajar Tingkatan Tiga yang terpilih untuk meneruskan pelajaran mereka ke peringkat universiti pada masa akan datang.

Dengan penubuhan TP1B itu juga, UiTM kini dilihat menjadi pelopor kepada budaya memberi balik di negara ini.

TP1B diilhamkan oleh Menteri Pendidikan II Datuk Seri Idris Jusoh pada 2014, bagi mengutip RM1 bilion daripada para alumni UiTM bertujuan untuk antaranya memberi biasiswa, bantuan kebajikan, penambahbaikan fakulti, menaja penyelidikan dan pembangunan.

 Lembaga pemegang amanah TP1B kemudiannya ditubuhkan yang dipengerusikan oleh Tan Sri Lodin Wok Kamaruddin dan dianggotai kalangan alumni UiTM yang berjaya dalam bidang masing-masing antaranya Ketua Pengarah MARA, Datuk Ibrahim Ahmad dan Ketua Pegawai Eksekutif Celcomaxiata Bhd Datuk Seri Shazally Ramly.

Turut hadir pada majlis itu adalah isteri Perdana Menteri Datin Seri Rosmah Mansor, Idris, Lodin dan Naib Canselor UiTM Tan Sri Prof Ir Sahol Hamid Abu Bakar.

Leave a Reply

Your email address will not be published.