UiTM Kelantan Cadang Latih Bekas Banduan Ceburi Tenunan Songket, Batik

UiTM Kelantan Cadang Latih Bekas Banduan Ceburi Tenunan Songket, Batik

MACHANG, 27 Mei (Bernama) — Universiti Teknologi MARA (UiTM) Kelantan bercadang untuk melatih banduan menceburkan diri dalam tenunan songket dan batik selepas mereka tamat mengikuti tempoh tahanan di penjara.

Rektor UiTM Cawangan Kelantan Dr Tuan Mohd Rosli Tuan Hassan berkata dua penjara di Kelantan iaitu di Machang yang menempatkan pesalah perempuan dan penjara Pengkalan Chepa di Kota Baharu yang menempatkan pesalah lelaki, dikenal pasti untuk kerjasama tersebut.

“Sehingga ini kita sudah pun mengadakan beberapa perbincangan di peringkat pengurusan kedua-dua penjara berkenaan,” katanya kepada Bernama ketika ditemui pada Majlis Minggu Destini Siswa di Kampus UiTM Machang di sini, hari ini.

Majlis berkenaan turut dihadiri kira-kira 1,000 pelajar Diploma Pengurusan Perniagaan, Perakaunan, Pengurusan Maklumat, Seni Lukis dan Seni Reka, Pentadbiran Awam dan Sains Komputer dan Matematik bagi sesi Jun-Oktober 2016.

Beliau berkata program itu bertujuan membolehkan bekas banduan dapat hidup berdikari dan menggalakkan industri pelancongan selain mengembalikan kegemilangan tenunan songket dan batik di negeri ini.

— BERNAMA

Leave a Reply

Your email address will not be published.