PPNP, UiTM Anjur Pertandingan Reka Bentuk Cenderamata

PPNP, UiTM Anjur Pertandingan Reka Bentuk Cenderamata

KUALA KANGSAR, 26 Mei (Bernama) — Persatuan Pelancongan Negeri Perak (PPNP) dan Universiti Teknologi Mara (UiTM) cawangan Seri Iskandar menganjurkan Pertandingan Reka Bentuk Cenderamata bersempena Tahun Melawat Perak 2017.

Pertandingan yang turut mendapat kerjasama Tourism Perak Management Bhd itu bertujuan mencungkil bakat baharu khususnya golongan belia dalam menghasilkan produk cenderamata selain membina personaliti usahawan dalam industri pelancongan.

Pengerusi Lembaga Pengarah Tourism Perak Mohamad Kamil Shafie berkata setiap reka bentuk yang dihasilkan perlu menonjolkan imej pelancongan Perak dengan penggunaan kos yang minimum.

“Ini secara tidak langsung mewujudkan daya saing yang sihat terhadap peserta untuk menghasilkan produk cenderamata menerusi idea dan kreativiti masing-masing,” katanya pada sidang media mengenai pertandingan itu di sini hari ini.

Beliau berkata pertandingan itu terbuka kepada warganegara Malaysia sama ada secara individu atau berkumpulan dengan tidak melebihi tiga orang dan tarikh tutup adalah pada 17 Jun.

Mohamad Kamil berkata setiap produk yang direka perlu mengikut satu daripada lima kategori yang telah ditetapkan iaitu kayu, seramik, fabrik, plastik dan bahantara bebas seperti bahan kitar semula, alam semulajadi atau logam.

Katanya setiap kategori akan mempunyai seorang pemenang utama, dua pilihan juri dan dua hadiah saguhati yang masing-masing akan membawa pulang hadiah wang tunai berjumlah RM3,000, RM1,000 dan RM500.

Orang ramai yang ingin mendapat keterangan lanjut berhubung pertandingan itu boleh melayari laman sesawang perakscom.blogspot.com.

— BERNAMA

Leave a Reply

Your email address will not be published.