Fikirlah: Ramadan Bukan Bulan Melayan Nafsu!

Fikirlah: Ramadan Bukan Bulan Melayan Nafsu!

KUALA LUMPUR (Bernama) — Meskipun umat Islam di Malaysia dijangka mula berpuasa pada 6 Jun, promosi untuk berbuka puasa atau iftar sudah pun bermula.

‘Perang’ promosi Bufet Ramadan ini dijangka menjadi lebih rancak di minggu terakhir sebelum bermula bulan puasa ini.

Di samping kain rentang yang mempromosi Bufet Ramadan di luar premis hotel, sudah ada media cetak yang menyiarkan ruangan khas berbuka puasa dengan menawarkan pelbagai juadah sebagai penarik selera.

Harga bufet yang ditawarkan mengikut kategori kanak-kanak dan orang dewasa dalam lingkungan RM35 hinggalah RM100 ke atas. Ada yang siang-siang lagi meuar-uarkan harga bufet termasuk 10 peratus caj servis dan 6.0 peratus GST.

Menu yang dihidangkan sehingga tak terkata banyaknya. Ada hotel menyediakan lebih 150 juadah tradisional tempatan dengan campuran hidangan Asia Barat. Macam mana nak makan supaya berbaloi wang yang dibayar? Alamatnya mungkin juga terpaksa duduk lama di meja makan supaya dapat merasa sebanyak mungkin makanan yang dihidangkan.

Sebuah hotel yang lain menghidangkan juadah dari setiap negeri di Malaysia di samping turut menyediakan buah-buahan tempatan sebagai pencuci mulut.

Untuk yang ‘kaki makan’, bulan Ramadan ini dilihat masa yang terbaik untuk menjamu selera.

Malah ada yang mungkin sanggup berbuka puasa dari hotel ke hotel untuk menikmati makanan idaman walaupun terpaksa mengeluarkan belanja lebih pada bulan yang sepatutnya boleh berjimat.

Malang sekali apabila ibadah dijadikan bahan komersial semestinya untuk mengaut keuntungan!

Secara disedari atau tidak, perkara ini turut diraikan umat Islam yang menjadikan Bufet Ramadan sebagai agenda setiap kali menjelang bulan Ramadan.

Perkara yang tidak biasa sudah menjadi biasa, ikutan pula menjadi budaya.

Budaya berbuka puasa ala Bufet Ramadan ini turut dimakmurkan syarikat-syarikat besar dengan memasukkannya ke dalam kalendar program korporat mereka.

Berdasarkan pengalaman lepas, saban hari pada sepanjang Ramadan, akan terpampanglah dalam suratkhabar gambar majlis berbuka puasa ini. Sebahagian besar yang menganjurkan majlis iftar ini turut menjemput anak yatim dan yang kurang bernasib baik menjamu selera serta diberi duit raya.

Bagi yang menjaga bajet, mungkin memadai berkunjung ke Bazar Ramadan atau pun gerai yang akan muncul di merata penjuru dan tepi jalan.

Makanan yang dijual juga, berdasarkan pengalaman lepas, tidak kurang hebatnya di samping kuih-muih beraneka jenis, lauk-pauk serta air minuman pelbagai warna.

Bak kata boleh jadi rambang mata kalau ke Bazar Ramadan dalam keadaan lapar dan dahaga, sehingga tidak sedar berapa banyak plastik beg berisi makanan yang dijinjing oleh tangan kiri dan kanan.

Memang seronok membeli jika menurut gejolak nafsu. Semua yang dijual dilihat menyelerakan, semua hendak dimakan. Maaf cakap, lazimnya makanan yang memenuhi ruang meja akan berakhir hayatnya di humban ke dalam tong sampah!

Tabiat buruk pembaziran yang berlaku sepanjang bulan Ramadan ini jelas dapat dilihat apabila syarikat mengurus sisa pepejal negara, SWCorp menyatakan untuk tempoh sebulan Ramadan rakyat Malaysia membuang 270,000 tan makanan.

Ini bermakna secara purata sebanyak 9,000 tan makanan dibuang setiap hari! Makanan ini juga adalah yang “tidak diusik” dan boleh dimakan semula!

Sisa makanan juga dilaporkan komponen tertinggi dalam skala komposisi sisa pepejal iaitu 45 peratus.

Pada hakikatnya setiap kali datang bulan Ramadan, setiap kali jugalah umat Islam diingatkan supaya mengelakkan pembaziran.

Kalau hendak diikutkan, banyak pihak tampil memberikan peringatan supaya umat Islam tidak tunduk kepada hawa nafsu ketika mahu berbuka puasa. Mereka juga diingatkan supaya berhemat berbelanja sama ada ke Bazar Ramadan atau pun memilih bufet Ramadan.

Soal “halalan toyyiban” (halal dan yang baik serta elok) juga jangan sesekali dikompromikan!

Pun tatkala kita hendak mengeluarkan belanja tanpa mengira membazir atau tidak, sejenak berfikir kepada mereka yang dihimpit kemiskinan atau yang menderita kebuluran.

Kita yang sering melayari laman sosial khususnya pasti pernah melihat gambar-gambar mangsa perang yang bukan sahaja hidup melarat sebagai pelarian tetapi menderita kebuluran.

Pasti ada hati yang sayu dan sangat tersentuh sehingga menitiskan air mata apabila melihat anak kecil yang menyelongkar tong sampah atau mencabut-cabut rumput untuk dimakan bagi mengisi perut yang lapar.

Untuk itu, menjelang Ramadan yang mulia ini, sama-samalah kita bermuhasabah diri dan memasang tekad untuk menjaga kesucian ibadah puasa demi mencari keredaan Ilahi.

Ingatkanlah juga diri kita bahawa Ramadan bukan bulan untuk kita menjadi gelojoh atau pelahap makan, sebaliknya untuk kita mengumpul pahala sebagai bekalan kehidupan di akhirat sana!

(Komentar ini adalah pendapat peribadi penulis dan tidak membayangkan pendirian BERNAMA dalam apa yang diperkatakan oleh penulis).

BERNAMA

Leave a Reply

Your email address will not be published.