Madu Kelulut Asli Bukan Yang Murah

Madu Kelulut Asli Bukan Yang Murah

REMBAU (Bernama) — Kerja mengutip madu bukanlah suatu yang mudah kerana ia melibatkan mencari, memanjat hingga ke puncak pokok, memungut dan memproses madu dan dianggap satu pekerjaan yang berbahaya oleh masyarakat.

Ia juga pekerjaan yang amat sinonim dengan Orang Asli yang tinggal di hutan dan madu yang dituai pula dalam jumlah yang terhad.

Jadi tidak menghairankan apabila harga madu di pasaran boleh mencecah ratusan ringgit dan ia dilihat berbaloi dengan tugas si pengutip madu yang merisikokan nyawa untuk mendapatkan madu yang asli.

Memang terdapat pelbagai jenis madu seperti tualang, propolis, manuka, kelulut dan ratu, pasti umum sudah tahu khasiatnya namun apakah benar mereka yakin memperoleh madu yang asli?

MADU MURAH?

Pengerusi Eksekutif Trigonalife Sdn Bhd Ahmad Kamil Mohamed ketika ditemui Bernama berkata persepsi dan kurangnya pengetahuan menyebabkan kebanyakan masyarakat hari ini menganggap madu murah dan mudah diperoleh.

Apatah lagi kini ia boleh dijual oleh sesiapa pun di mana sahaja termasuk dari pasar raya besar hingga ke kaki lima, tanpa dipersoalkan oleh masyarakat tentang keaslian dan jenisnya.

Mengambil madu kelulut misalnya, setiap satu log koloni atau sarangnya hanya menghasilkan 300 hingga 500 gram sekurang-kurangnya tiga bulan selepas log koloninya dipotong.

Lebah kelulut adalah antara 33 jenis spesies lebah trigona yang tidak mempunyai sengat dan madunya dikatakan mempunyai banyak khasiat untuk memulihkan pelbagai penyakit kronik.

Ahmad Kamil berkata dalam kesukaran mendapatkan hasil yang banyak dan perlu melalui pelbagai proses yang rumit, maka adalah mustahil ia dapat dipasarkan pada harga yang murah.

“Paling dikesalkan ada yang sanggup membelinya asalkan murah,” katanya.

STANDARD MADU TERJEJAS

Cuba memperbetulkan persepsi negatif yang selama ini menjejaskan standard madu serta keasliannya, Trigonalife Sdn Bhd sebuah syarikat yang kini bergiat aktif membangunkan industri madu kelulut dengan mewujudkan platform menggabungkan semua penggiat di setiap peringkat dalam industri madu kelulut.

Ahmad Kamil berkata kebanyakan penggiat industri madu kelulut mengakui pengeluaran madu adalah kecil bagi setiap log koloni dan pengeluarannya juga bergantung kepada persekitaran di mana log koloni itu ditempatkan.

“Oleh kerana dalam satu log koloni pengeluarannya agak kecil, maka kita memerlukan lebih ramai penternak dan lebih banyak kawasan penternakan.

“Untuk mendapatkan pengeluaran madu dalam kuantiti yang baik serta berkualiti ia memerlukan sekurang-kurangnya satu ekar tanah untuk menempatkan kira-kira 200 log koloni dengan persekitaran habitat yang baik yang terdapat pelbagai tumbuh-tumbuhan,” katanya.

Trigonalife kata Ahmad Kamil yang diusahakan bersama sahabatnya Dr Norowi Hamid, yang juga Pengarah Penyelidikan Bahagian Sumber Strategik Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (Mardi) juga menggabungkan semua penggiat di setiap peringkat dalam industri.

Bagi memastikan keaslian madu kelulut keluaran syarikatnya, Ahmad Kamil berkata pihaknya turut berhati-hati dalam memilih pencari log koloni, pakar penilai log koloni, penternak atau pengusaha, pengeluar produk, pemasar di bawah satu ‘payung’ Koperasi Trigonalife Berhad sebagai strategi syarikat itu untuk mengeluarkan madu kelulut sebagai makanan kesihatan yang bermutu tinggi.

PUPUK AMALAN MAKAN MADU

Diusahakan bersama sejak hampir dua tahun lepas, Trigonalife bukan sahaja melahirkan usahawan dalam industri kelulut namun turut menjalankan program Pemulihan Kesihatan berasaskan madu bagi memupuk amalan memakan madu.

Secara peribadi Ahmad Kamil berpendapat bahawa masyarakat hari ini tidak meletakkan madu apatah lagi madu kelulut sebagai penyelesai masalah kesihatan sebaliknya lebih cenderung untuk mengambil herba-herba termasuk ubat-ubatan.

“Saya sendiri mempunyai pengalaman iaitu beberapa tahun yang lepas saya diberikan ujian dariNYA apabila saya jatuh sakit… dan saya telah diberikan madu oleh rakan saya yang kini bisnes partner saya, dia berikan saya hisap madu kelulut yang masih ada di sarangnya, Alhamdulillah saya amalkan dan saya kini kembali sihat.

“Tradisi masyarakat Melayu kini tidak berapa memandang madu kelulut kerana apabila sebut tentang madu mereka akan ingat madu tualang sedangkan kelulut juga hidup di dalam hutan yang terdapat kayu-kayu balak yang keras seperti kruing dan cengal,” katanya.

MENCARI YANG ASLI BUKAN MUDAH

Ahmad Kamil berkata berdasarkan kajian dan penemuan oleh Mardi sejak 10 tahun lepas mendapati madu kelulut berpotensi dikomersialkan kerana khasiat yang terkandung di dalamnya ternyata baik untuk sel-sel kulit yang terdedah daripada cahaya matahari namun penerimaannya boleh dikatakan masih hambar.

Dengan krisis pasaran madu hari ini yang terdapat di pasaran yang dikatakan lebih 80 peratus adalah madu yang dicampur dan lebih parah apabila terdapat madu yang dijual itu adalah madu sintetik atau tiruan yang langsung tidak mengandungi walau setitik madu asli, katanya.

“Ini memang berlaku kerana bekalan tidak banyak… Dan selalunya yang menjadi mangsa mereka yang memang tidak tahu menilai madu secara fizikal dan tidak mempunyai pengetahuan mengenai madu.

“Saya bukan kata semua madu di pasaran yang ada hari ini tidak asli tetapi tiada satu kaedah yang dapat memastikan madu yang dijual itu keasliannya terjamin,” katanya.

Oleh itu adalah penting masyarakat mempunyai pengetahuan dalam industri madu sekurang-kurangnya tahu warna dan bentuk fizikal madu.

“Ada yang saya jumpa dia kata madu kelulut bewarna putih… berdasarkan kajian-kajian yang dibuat oleh pakar-pakar kita, tidak pernah madu kelulut diproses dan bertukar menjadi warna putih.

“Jadi melalui Program Pemulihan Kesihatan yang kita jalankan, kita adakan bengkel dan kita berikan mereka yang telah mendaftar sebagai ahli, maklumat berkaitan madu kelulut dan kita sendiri beri mereka peluang untuk melihat kawasan penternakan kita serta menghisap sendiri madu kelulut di dalam log koloni.

Keaslian madu kelulut Trigonalife bukan sahaja dibuktikan dengan cara itu malahan Trigonalife mempunyai pakar nutrisi, pakar kesihatan termasuk pakar biokimia yang bersama-sama membuat kajian madu kelulut sebelum ia dipasarkan.

MADU TRIGONALIFE DIJUAL SECARA EKSKLUSIF, JAMIN KEASLIAN

Tidak seperti madu lain, Trigonalife memilih untuk menjual madu atau produknya secara keahlian bersesuaian dengan kesukaran dalam proses penghasilkannya.

“Madu kita ada standard dan kualitinya memang terjamin, jadi saya pikir ia tidak akan dijual secara runcit macam madu lain, kita jual dengan cara menyertai keahlian. Kita gunakan perunding untuk mempromosikan madu dan apabila mereka (pengguna) telah mempunyai pengetahuan tentangnya barulah mereka akan rasa wang yang dikeluarkan beratus ringgit untuk sebotol madu itu adalah berbaloi.

“Bayangkan kalau kita jual secara runcit sederet dengan madu lain yang jauh lebih murah, produk kita tidak akan jalan,” katanya.

BERNAMA

Leave a Reply

Your email address will not be published.