Yayasan Kebajikan Suria Bantu Kanak-kanak Kurang Berkemampuan

Yayasan Kebajikan Suria Bantu Kanak-kanak Kurang Berkemampuan

KOTA KINABALU (Bernama) — Wanita ini tidak pernah menyangka, langkahnya mengambil empat kanak-kanak daripada keluarga kurang berkemampuan yang tinggal berhampiran rumahnya suatu ketika dahulu, menjadi satu permulaan untuk beliau membangunkan sebuah yayasan kebajikan di negeri ini.

Datuk Raya Erom, seorang wanita dengan perwatakan mesra dan penuh jiwa keibuan ini, tekad membina Yayasan Kebajikan Suria pada 1996 kerana menyedari pentingnya berkongsi rezeki dan membantu orang lain, apatah lagi kanak-kanak yang sememangnya memerlukan perhatian terutama dalam pendidikan.

Isteri kepada Menteri Komunikasi dan Multimedia Datuk Seri Dr Salleh Said Keruak ini tidak mengharapkan balasan daripada kanak-kanak yang menjadi penghuni di yayasan itu, sebaliknya, hanya ingin mereka mendapat pendidikan, ajaran agama Islam serta nilai-nilai murni untuk bekalan masa hadapan yang cemerlang.

Ibarat kata pepatah tangan memberi lebih baik daripada menerima, sumbangan dermawan berjiwa besar itu dalam membangun modal insan di Sabah terpampang jelas apabila beliau turut membina Pusat Seni Suria, sekolah tahfiz, sekolah agama rakyat dan asrama yang lengkap dengan pelbagai kemudahan.

Maka tidak hairanlah, jika wanita berusia 54 tahun kelahiran Tuaran ini pernah menjadi wanita pertama negara yang diberi Anugerah Wira Dermawan Asia bagi tahun 2009 daripada majalah Forbes Asia.

BERMULA HANYA DENGAN BILIK TETAMU

Mengimbas kembali peristiwa 20 tahun lepas, Raya berkata yayasan itu bermula dengan hanya tiga bilik tetamu di rumahnya bagi menempatkan empat kanak-kanak daripada keluarga kurang berkemampuan yang diambil pada awalnya.

Memandangkan kapasiti kanak-kanak semakin bertambah dan ruangan tiga bilik itu sudah tidak mampu menampung mereka, membuatkan Pengerusi Yayasan Kebajikan Suria itu berfikir perlunya sebuah asrama dibangunkan bagi menempatkan mereka.

Raya berkata rata-rata kanak-kanak yang menghuni yayasan kebajikan itu adalah mereka yang berasal dari kampung di sekitar Kota Kinabalu, Tuaran, Kota Belud, Ranau, Kudat, dan beberapa daerah terpencil di pedalaman Keningau.

“Kami mendirikan asrama pertama di Kampung Likas yang menampung kira-kira 40 hingga 50 kanak-kanak,” katanya kepada Bernama ketika ditemui di Pusat Seni Suria di sini baru-baru ini.

Bagaimanapun, setelah penghuni mencecah seramai 180 orang, Yayasan Kebajikan Suria berpindah dari Kampung Likas ke Kampung Panjut, Berungis di Tuaran memandangkan kawasan di sana lebih luas dan selesa.

BINA YAYASAN GUNA WANG SENDIRI

Menceritakan pengalaman membangunkan yayasan di Kampung Panjut, Raya berkata beliau menggunakan sumber kewangan sendiri bagi memastikan hasrat dan harapan memiliki bangunan khas yayasan dapat direalisasikan segera.

Walaupun tidak menerima bantuan kewangan daripada mana-mana pihak, namun, Raya sama sekali tidak berputus asa dan terus komited berusaha mengumpul dana dengan mengadakan malam amal agar impiannya membina bangunan itu terlaksana.

“Kos pembinaan agak mahal waktu itu, kira-kira RM500,000. Tiada bantuan diterima ketika itu, tetapi kami berusaha sendiri mencari dan mengumpul dana untuk membiayai kos berkenaan,” katanya.

Bagaimanapun, kecekalan dan kesungguhan Raya akhirnya membuahkan hasil apabila Yayasan Kebajikan Suria mempunyai bangunan sendiri dilengkapi kemudahan asrama, surau, blok perpustakaan, dewan dan rumah kakitangan.

Selepas enam tahun beroperasi, Raya berkata, pihaknya mendapat perhatian kerajaan apabila menerima peruntukan kewangan bagi pengurusan pembangunan yayasan kebajikan berkenaan.

Selain itu, katanya, terdapat juga pihak yang tampil menghulurkan bantuan dan sumbangan berupa barangan keperluan asas, keperluan dapur termasuk bahan-bahan makanan untuk kanak-kanak yayasan.

YAYASAN KEBAJIKAN SURIA MEDAN MEMBANGUN POTENSI

Raya tidak mahu Yayasan Suria yang dibangunkan itu hanya menjadi tempat tinggal semata-mata, sebaliknya beliau mahu ia menjadi satu medan membangun potensi sekali gus landasan untuk anak-anak tersebut maju ke hadapan.

“Kita akan terus berusaha untuk memberikan mereka ilmu, kasih sayang dan perhatian,” katanya, dan beliau tidak janggal dipanggil sebagai ‘makcik’ oleh anak-anak yayasan itu.

Selain sekolah tahfiz dan sekolah agama, Raya berkata Yayasan Kebajikan Suria turut dikembangkan menerusi pembinaan pusat seni yang antara lain menjadi tempat anak-anak yayasan itu mengembangkan bakat mereka.

Bekas penuntut Universiti Sains Malaysia (USM) dalam bidang Teater itu mahu bakat seni dimiliki anak-anak yayasan seperti menulis, melukis dan bermain muzik digilap sepenuhnya agar kelebihan itu dimanfaatkan untuk kerjaya mereka.

“Walaupun dari segi akademik mungkin mereka kurang, tetapi kami tidak putus asa dan terus membimbing dan mencungkil bakat mereka agar mereka mempunyai hala tuju dan mempunyai kerjaya daripada bidang ini,” katanya.

Dalam pada itu, Raya sentiasa menegaskan pentingnya anak-anak di yayasan menerapkan nilai-nilai murni dalam kehidupan mereka termasuk kepentingan menghormati dan menghargai pemberian orang lain kerana elemen itu penting untuk melahirkan generasi berbudi pekerti dan mempunyai nilai kemanusiaan yang tinggi.

“Menghormati dan menghargai pemberian orang lain itu penting. Selain itu, saya sentiasa mengingatkan mereka untuk terus menyayangi dan menghormati kedua orang tua mereka walau apa pun kekurangan,” katanya.

RANCANGAN MASA HADAPAN

Raya meletakkan harapan tinggi untuk melihat Yayasan Kebajikan Suria berkembang dan boleh menempatkan sekali gus membantu lebih ramai kanak-kanak daripada keluarga kurang berkemampuan.

Untuk itu, pihak yayasan sekarang ini sedang dalam proses mengubahsuai dan memperbesar lagi bangunan yayasan di Kampung Panjut, Berungis, Tuaran daripada dua tingkat ditambah kepada tiga tingkat.

“Buat masa ini, kita terpaksa menutup sekolah untuk jangka masa agak lama, kira-kira setahun untuk kerja-kerja pembaikan,” katanya.

Selain itu, Raya berkata kerja-kerja menaiktaraf itu dibuat memandangkan ruang sudah tidak mencukupi.

Pihak yayasan juga sudah memulakan pembinaan bangunan baharu di atas tanah berkeluasan lebih 0.8 hektar di jalan Kampung Serusup, Tuaran.

“Jika sudah siap, asrama mungkin mempunyai kira-kira 10 bilik selain ada sekolah tahfiz rumah kakitangan dan surau,” katanya, dan menambah kawasan tanah itu adalah miliknya.

KARNIVAL BERSAMA KKMM

Bagi memastikan pembinaan bangunan baharu itu yang berjumlah RM800,000 berjalan lancar, Yayasan Kebajikan Suria akan mengadakan karnival selama tiga hari mulai 27 Mei di Kompleks Sukan Likas.

Beliau berharap orang ramai termasuk mana-mana pihak tampil memberi sumbangan ikhlas bagi membantu yayasan mengumpul dana, selain terdapat juga aktiviti jualan amal.

“Pihak yayasan memerlukan dana dan kita akan menggunakan sebaiknya sumber kewangan diperoleh agar bangunan baharu terwujud,” katanya, dan menganggarkan kira-kira RM1 juta bagi menyiapkan bangunan yang lengkap dengan kemudahan.

Raya berkata Yayasan Kebajikan Suria akan bekerjasama dengan Kementerian Komunikasi dan Multimedia Malaysia untuk menjayakan karnival amal itu.

Karnival itu akan dimeriahkan dengan pelbagai persembahan oleh jabatan di bawah kementerian.

BERNAMA

Leave a Reply

Your email address will not be published.