Pelajar Lepasan Giat Mara Punyai Masa Depan Cerah

Pelajar Lepasan Giat Mara Punyai Masa Depan Cerah

KUANTAN, 30 Mei (Bernama) — Pelatih Giat Mara mempunyai masa depan yang cerah kerana latihan dan kemahiran yang mereka pelajari sepanjang tempoh pengajian merupakan tiket bagi mereka mendapat pekerjaan.

Timbalan Yang Dipertua Dewan Rakyat Datuk Ismail Mohamed Said berkata tambahan pula kerajaan memerlukan seramai 1.5 juta pekerja mahir menjelang 2020 untuk diisi dalam pelbagai sektor swasta dan jabatan kerajaan.

“Majikan swasta dan syarikat besar mengutamakan pekerja terlatih dan berkemahiran bagi mengisi peluang pekerjaan kerana ia merupakan aset kepada majikan dan syarikat.

“Pihak swasta dan syarikat besar bersedia menawarkan gaji tinggi kepada mereka yang berkemahiran. Justeru, pelatih Giat Mara tidak seharusnya mensia-siakan ilmu dipelajari itu bagi mendapatkan gaji lumayan,” katanya ketika merasmikan Hari Graduasi 299 pelatih dari 16 Pusat Giat Mara Pahang, di Jengka, dekat sini, hari ini.

Ismail yang juga anggota Parlimen Kuala Krau berkata pelajar lepasan Giat Mara berkemampuan mengubah taraf kehidupan ke arah lebih baik setelah mendapat pekerjaan dengan gaji lumayan.

Beliau berkata Jepun dan Korea serta beberapa negara Eropah mengutamakan pekerja mahir kerana ia boleh meningkatkan pengeluaran dan pendapatan syarikat sekali gus memberikan keuntungan besar.

Sehubungan itu, beliau menggesa belia dan lepasan sekolah menengah mengikuti program latihan dan kemahiran yang disediakan Giat Mara kerana sijil dan kelulusan pusat latihan berkenaan diiktiraf serta mudah mendapat pekerjaan.

Beliau juga berkata kira kira 60 peratus daripada 300,000 bekas pelatih Giat Mara berjaya mendapat pekerjaan dan sebahagiannya menjalankan perniagaan sendiri.

— BERNAMA

Leave a Reply

Your email address will not be published.