Perkongsian Inovasi Dan Teknologi Mampu Jimatkan Kos Pengurusan

Perkongsian Inovasi Dan Teknologi Mampu Jimatkan Kos Pengurusan

ALOR SETAR, 30 Mei (Bernama) — Perkongsian inovasi dan teknologi antara Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) dilihat mampu menjimatkan kos pengurusan sesebuah PBT, kata Presiden Persatuan Pihak Berkuasa Tempatan Malaysia (MALA), Datuk Maimunah Mohd Sharif.

Beliau berkata hasil perkongsian perkhidmatan seperti bidang teknologi maklumat mampu meningkatkan perkhidmatan setiap PBT kepada masyarakat setempat dengan kos yang minimum.

Maimunah yang juga Yang Dipertua Majlis Perbandaran Seberang Perai (MPSP), Pulau Pinang berkata pihaknya sebelum ini terpaksa mengeluarkan kos bernilai jutaan ringgit bagi melantik konsultan untuk menyediakan sesebuah pangkalan data atas talian.

“Sistem penilaian di MPSP yang kita bangunkan berjaya menjimatkan kos sebanyak RM10 juta dan jika kita kongsikan kepada PBT lain mereka juga dapat jimatkan kos lebih banyak berbanding sebelum ini.

“Kita tak perlu lagi gunakan konsultan dari luar pada masa depan jika setiap PBT berkongsi hasil inovasi mereka,” katanya ketika ditemui pada Konferen Kebangsaan: Amalan Terbaik Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) di sini hari ini.

Maimunah berkata tujuan utama persidangan itu bagi memberi peluang kepada Datuk Bandar dan Yang Dipertua Majlis Perbandaran untuk bertukar idea dan inovasi untuk dipraktikkan di PBT mereka.

Beliau berkata amalan ini telah dilakukan di luar negara dan menjadikannya sebagai amalan terbaik mereka dalam mengetengahkan sesebuah PBT itu ke peringkat lebih tinggi.

“Ini permulaan bagi kita dengan adanya konferen seperti ini dan MALA berhasrat untuk anjurkan konferen seperti ini di peringkat ASEAN pada tahun 2018,” katanya.

Seramai 300 peserta terlibat dalam persidangan itu terdiri daripada pegawai dari 149 PBT di seluruh negara, yang dirasmikan oleh Ketua Setiausaha Kementerian Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Datuk Mohammad Mantek.

— BERNAMA

Leave a Reply

Your email address will not be published.